suria

Hari pertama mula tugas rasmi sebagai PM, Ismail Sabri tinjau lokasi tragedi kepala air di Kedah

Ismail melakukan tinjauan di lokasi tragedi kepala air yang berlaku di Yan, Kedah pada Isnin.

DATUK Seri Ismail Sabri membuat tinjauan di daerah Kuala Muda dan Yan, Kedah iaitu lokasi tragedi kepala air dari Gunung Jerai yang berlaku pada Rabu lalu.

Ia adalah lawatan kerja rasmi pertamanya selepas dilantik menjadi Perdana Menteri ke-9 pada Sabtu.

Ismail menaiki pesawat di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang, Selangor dan tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim di Alor Setar kira-kira pukul 10.45 pagi Isnin.

ARTIKEL BERKAITAN: 3 maut tragedi kepala air Gunung Jerai

Beliau kemudian menuju ke Merbok untuk meninjau kawasan yang dilanda banjir kilat, iaitu Jambatan Tupah, Taman Lembah Merbok dan Loji Air Tupah.

Beliau turut diiringi Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor.

Dalam tragedi pada Rabu lalu, beberapa buah kampung dan kawasan perumahan di sekitar Gunung Jerai musnah dilanda banjir kilat dan tanah runtuh.

Kawasan seperti Perigi, Teroi Bukit, Singkir, Kampung Permatang Keramat, Kampung Lubuk Boi, Pekan Yan Besar, Titi Teras, Kampung Acheh, dan Kampung Setoi adalah antara kawasan yang teruk terjejas.

Dianggarkan kira-kira 800 rumah penduduk di Yan dan 200 rumah lagi di Kuala Muda terjejas akibat bencana tersebut.

Tragedi tersebut sehingga kini telah meragut nyawa lima mangsa.

Operasi mencari dan menyelamat mangsa yang hilang masih giat dijalankan. - THE STAR

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain