suria

Harus bersepakat selamatkan 'Keluarga Malaysia', fokus dua objektif utama mendepani Covid-19 - Ismail Sabri

DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob menggesa kesemua pihak termasuk pembangkang harus bekerjasama menyelamatkan 'Keluarga Malaysia'. — BERNAMA.

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan kerajaan akan menumpukan usaha ke arah mencapai dua objektif utama bagi mengurangkan kesan ekonomi yang berpanjangan akibat pandemik Covid-19.

Ismail Sabri berkata, objektif pertama adalah mengembalikan kesejahteraan rakyat seiring dengan usaha meningkatkan kuasa beli pengguna.

"Manakala objektif kedua, mengangkat semula sektor swasta sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi negara, " ujarnya ketika ucapan khas pertamanya hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Ramai menanti, PM sampaikan ucapan sulung petang ini

ARTIKEL BERKAITAN: “Thank you Ni sentiasa ada di sisi Sabri” - PM pamer sisi romantis, kongsi nukilan khas buat suri hati

Tambah Ismail Sabri, beliau turut menawarkan ruang kepada parti pembangkang untuk menganggotai Majlis Pemulihan Negara (MPN) dan Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19.

Menurut beliau, semua pihak haruslah bersepakat menyelamatkan ‘Keluarga Malaysia’.

"Kebawah Duli Tuanku (Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah) dalam perjumpaan bersama ketua-ketua parti baru-baru ini telah bertitah kepada semua agar melupakan segala perbezaan demi mencapai kesejahteraan dan kebajikan rakyat.

"Kesemua pihak sepatutnya sedia bekerja dalam satu pasukan demi mengharmonikan semula suasana. Dalam erti kata lain, kita perlu mendakap erat prinsip kebersamaan.

"Saya faham, kemelut politik yang melanda negara menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat. Oleh itu, kestabilan politik perlu segera dicapai menerusi kebersamaan. Ini termasuklah mewujudkan kerjasama rentas parti," katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri turut memaklumkan pembelian tambahan sejumlah enam juta dos vaksin lagi yang akan diterima menjelang awal September depan.

"Saya akan memastikan setiap intervensi dan usaha pihak kerajaan untuk menurunkan kes Covid-19 dilakukan secara lebih komprehensif.

"Kerajaan ini akan meneruskan usaha yang dilaksanakan sebelumnya agar segera kita beralih ke fasa pemulihan melalui sasaran imuniti kelompok," jelas beliau lagi.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Perdana Menteri, ucapan

Artikel Lain