PERKEMBANGAN terkini penularan Covid-19 di negara ini merekodkan 1,349 kes baharu, menjadikan keseluruhan 350,959 kes setakat Sabtu. Jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 pula adalah 14,509 di mana mereka telah diasingkan dan diberi rawatan. Daripada 1,349 kes baharu yang dilaporkan, 1,342 kes merupakan penularan tempatan dan baki tujuh kes adalah jangkitan luar negara. Sarawak merekodkan kes harian tertinggi pada hari ini iaitu sebanyak 419 kes, diikuti Selangor (343) dan Pulau Pinang (185). Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, terdapat pertambahan dua kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan pada hari ini. "Justeru, jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 1,288 kes," katanya dalam satu kenyataan pada petang Ahad. Beliau berkata, sebanyak 1,270 kes telah pulih daripada Covid-19 pada Ahad dan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya adalah 335,162 kes. "Sehingga kini, terdapat 186 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di mana 94 kes memerlukan bantuan pernafasan," katanya. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!