suria

Kerajaan belum putuskan kebenaran rentas negeri untuk penerima 2 dos vaksin Covid-19

Kebenaran merentas negeri kepada penerima dua suntikan dos vaksin Covid-19 masih belum diputuskan kerajaan. foto ART CHEN/The Star

KERAJAAN masih belum memutuskan kebenaran merentas negeri kepada penerima dua suntikan dos vaksin Covid-19.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, segala keputusan mengenai perkara itu bergantung kepada nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang melakukan kajian terhadap kebolehjangkitan setiap dua minggu.

"Kalau KKM kata keadaan sudah stabil dan boleh rentas negeri, kebenaran akan diberikan. Kalau boleh buat sementara waktu ini bersabar dahulu.

ARTIKEL BERKAITAN: Rakyat terima 2 dos vaksin Covid-19 boleh rentas negeri, daerah tanpa halangan pihak berkuasa - PM

"Ini kerana cadangan yang membenarkan penerima dua suntikan vaksin boleh rentas negeri itu kita belum putuskan dan ia akan dibincang dalam masa seminggu lagi," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Penganugerahan Pingat Jasa Malaysia di Hotel Swiss-Bell Tanjung Lumpur, di Kuantan pada Sabtu.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Muez Abdul Aziz, Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain dan Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV), Mejar Jeneral Datuk Dzulkarnain Ahmad.

Pada majlis berkenaan, seramai 295 penerima menerima Pingat Jasa Malaysia sebagai penghargaan oleh kerajaan terhadap jasa dan bakti mereka kepada negara terutamanya semasa darurat.

Pada 27 Mac lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata, kerajaan akan meneliti mengenai kebenaran pergerakan rentas negeri bersempena Aidilfitri yang akan disambut pada pertengahan Mei depan.

Ismail Sabri berkata, setakat ini terdapat enam negeri iaitu Selangor, Kuala Lumpur, Johor, Pulau Pinang dan Kelantan masih di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan tidak banyak berubah daripada segi kadar jangkitan Covid-19.

Jelasnya, keadaan kes jangkitan Covid-19 masih lagi menunjukkan trend turun dan naik. - Sinar Harian

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain