suria

Tunggu 70 peratus rakyat divaksin baru boleh rentas negeri? Ini penjelasan Dr Noor Hisham

Kata Dr Noor Hisham, sebarang keputusan juga akan diputuskan selepas penilaian dibuat berhubung situasi semasa pandemik di negara ini.

CADANGAN Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah pada Jumaat lalu yang menyatakan pergerakan rentas negeri dan daerah mungkin dilanjutkan sehingga sekurang-kurangnya 70 peratus rakyat telah diberi suntikan vaksin Covid-19 nampaknya tidak disenangi banyak pihak.

Terbaharu menerusi sidang media pada Selasa, Dr Noor Hisham tampil mengulas isu gabungan melibatkan 292 persatuan perniagaan yang meminta agar cadangan itu dikaji semula.

ARTIKEL BERKAITAN: Malaysia catat 1,555 kes baharu, 6 lagi korban Covid-19

"Mungkin kita lihat hanya kepada vaksinasi atau pencapaian imuniti kelompok. Walaupun kita dah mulakan vaksinasi pada 24 Februari 2021, tetapi asas tindakan kita ialah kesihatan awam.

"Jadi kalau dilihat hari ini, tindakan kesihatan awam kita berjaya melandaikan keluk dan sekarang kita ada vaksin.

"Kedua-dua strategi ini harus dipakai untuk membendung Covid-19," jelasnya pada Selasa petang.

Kata Dr Noor Hisham, sebarang keputusan juga akan diputuskan selepas penilaian dibuat berhubung situasi semasa pandemik di negara ini.

"Sebelum menjalankan keputusan kita akan buat penilaian risiko dan berdasarkan kepada data dan fakta.

"Pertama, situasi semasa kes harian dan kes discaj, seterusnya kadar kebolehjangkitan, kadar kematian, situasi katil dan ICU hospital sama ada dapat menampung kes di sesuatu kawasan.

"Kita lihat juga petugas kesihatan yang dijangkiti dan ujian yang dijalankan di lapangan.

"Keputusan akan dibentangkan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan kita akan berbincang untuk seimbangkan sektor ekonomi dan kesihatan sebelum keputusan dimaklumkan kepada umum," jelasnya lagi.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain