suria

Akhirnya Selangor, W.Persekutuan, Johor, P.Pinang berstatus PKPB... rentas negeri masih tak dibenarkan! - Ismail Sabri

Rentas negeri bagaimanapun belum dibenarkan lagi setakat ini. Foto: LOW LAY PHON/The Star.

MENTERI Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan empat negeri yang diletakkan dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bakal bertukar status kepada PKP Bersyarat (PKPB) bermula 5 Mac sehingga 18 Mac ini.

Empat negeri tersebut merupakan Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Johor dan Pulau Pinang.

ARTIKEL BERKAITAN: Tunggu 70 peratus rakyat divaksin baru boleh rentas negeri? Ini penjelasan Dr Noor Hisham

Kedah, Kelantan, Negeri Sembilan, Sarawak dan Perak pula masih kekal dalam status PKPB, juga dalam tempoh sama.

Enam negeri yang berstatus PKPB sejak 19 Februari lalu sehingga 4 Mac ini pula ditukar kepada PKP Pemulihan (PKPP).

Ia melibatkan Melaka, Pahang, Terengganu, Sabah, Putrajaya dan Labuan.

"Pelaksanaan PKPB dan PKPP ini berkuatkuasa 5 Mac sehingga 18 Mac 2021, kecuali Sarawak, dari 2 Mac sehingga 15 Mac," umum Ismail Sabri pada Selasa.

Dalam pada itu, Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) bersetuju membenarkan rentas daerah di seluruh negeri kecuali Sabah.

Rentas negeri bagaimanapun belum dibenarkan lagi.

Dalam pada itu kata Ismail Sabri, seperti yang dilaksanakan sewaktu PKPB 1.0, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Wilayah Persekutuan Putrajaya adalah dianggap satu zon.

Pergerakan rentas antara Selangor (PKPB) ke Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PKPB) adalah dibenarkan.

Walaubagaimanapun pergerakan dari Selangor atau Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur ke Wilayah Persekutuan Putrajaya masih tidak dibenarkan kerana Wilayah Persekutuan Putrajaya berstatus PKPP.

Ini bagi melindungi Wilayah Persekutuan Putrajaya dari penularan Covid-19.

Pergerakan dari Selangor atau Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur ke Wilayah Persekutuan Putrajaya masih memerlukan kebenaran polis kecuali bagi mereka yang bekerja dan mempunyai surat majikan.

Sebelum ini, PKP 2.0 yang dijadualkan tamat pada 18 Februari dikekalkan di empat negeri berikutan kes Covid-19 yang masih tinggi, berkuat kuasa selama dua minggu bermula 19 Februari hingga 4 Mac.

Ia melibatkan Selangor, Kuala Lumpur, Johor dan Pulau Pinang.

Status negeri-negeri lain yang dilaksanakan PKP seperti Kedah, Perak, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang, Terengganu, Sabah termasuk Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Labuan dikuatkuasakan PKP Bersyarat (PKPB).

Perlis pula satu-satunya negeri yang ditukarkan status kepada PKP Pemulihan (PKPP) berikutan kes Covid-19 yang rendah di negeri tersebut.

PKP, PKPB dan PKPP dikuatkuasakan bagi tempoh sama bermula 19 Februari hingga 4 Mac dengan larangan rentas negeri.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain