suria

Dua lelaki terlibat insiden rempuhan Proton Waja direman 4 hari

Proton Waja yang dipandu suspek merempuh beberapa kenderaan lain dalam cubaan melarikan diri daripada polis.

DUA lelaki yang ditahan polis dalam cubaan melarikan diri dengan sebuah kereta Proton Waja pada Jumaat, direman selama empat hari.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, suspek telah direman sehingga Selasa ini (2 Mac).

"Kami akan menyiasat kes tersebut lebih lanjut. Kedua-dua suspek didapati positif dadah," katanya.

Terdahulu dilaporkan bahawa pemandu kereta berkenaan, yang dikenali sebagai 'Bob Mah Sing' berjaya ditahan di Shah Alam sementara rakannya ditahan di Desa Aman pada Jumaat.

ARTIKEL BERKAITAN: Pemandu Proton Waja dberkas... miliki 6 rekod jenayah, 14 rekod dadah

Ia susulan insiden 'ganas' di Bulatan Sierramas, Petaling Jaya di mana mereka merempuh beberapa kenderaan dalam usaha melarikan diri daripada polis.

Insiden bermula apabila dua suspek terbabit telah dikejar dari Kampung Desa Aman oleh anggota unit kereta peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak.

"Anggota polis mengarahkan dua lelaki di dalam kenderaan untuk keluar tetapi mereka enggan malah merempuh beberapa kenderaan untuk melarikan diri,"Nik Ezanee.

Ujarnya, polis terpaksa melepaskan tembakan ke arah kenderaan berkenaan dalam usaha menghentikan cubaan mereka melarikan diri.

Suspek kemudian berjaya melepaskan diri selepas merempuh kenderaan di hadapannya dan memecut ke arah Jalan Kuala Selangor - Sungai Buloh sebelum memberhentikan kenderaannya di tepi jalan kerana kebocoran tayar.

"Unit K-9 dan Forensik berjaya mengesan 1.7g heroin di dalam kereta tersebut," katanya.

Nik Ezanee juga menyeru mereka yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu menghubungi talian hotline polis di 03-2052 9999 atau balai polis berhampiran. - THE STAR

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain