suria

Berpakaian wanita: Sajat tak kebal undang-undang - Ahmad Marzuk

Sajat gagal hadir ke mahkamah bagi prosiding sebutan semula kes berpakaian seperti wanita, pada Selasa lalu.

TIMBALAN Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ahmad Marzuk Shaary menegaskan tiada siapa yang kebal undang-undang termasuk usahawan kosmetik, Nur Sajat atau nama sebenarnya, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman.

Ahmad Marzuk berkata, sesiapa sahaja tidak terkecuali Sajat perlu mengikut undang-undang kerana negara ditegakkan dengan prinsip 'rule of law'.

ARTIKEL BERKAITAN: Sajat alami depresi selepas mengaku tukar jantina - “Aku dah perempuan... kemaluan aku, tubuhku, adakah solat aku sah?”

"Tidak ada yang kebal undang-undang sebenarnya, cuma proses mahkamah itu perlu berhemah dan teliti kerana terdapat prosedur dan garis panduan tertentu perlu diikuti.

"Tidak bermakna individu yang enggan hadir ke mahkamah itu kebal undang-undang, cuma proses itu sedang berjalan," katanya kepada pemberita pada Sabtu di Pengkalan Nangka selepas merasmikan Penyerahan Sumbangan Bantuan Musaadah Bencana kepada mangsa kebakaran.

Ahmad Marzuk berkata demikian mengulas isu ketidakhadiran Sajat ke mahkamah dan waran tangkap terhadapnya.

Pada Selasa, Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam mengeluarkan waran tangkap terhadap Sajat susulan kegagalannya hadir ke mahkamah bagi prosiding sebutan semula kes berpakaian seperti wanita sehingga menyebabkan agama Islam dipandang hina.

Bagaimanapun usahawan itu mendakwa dia mempunyai alasan kukuh tidak menghadirkan diri pada sebutan semula kesnya di mahkamah pada 23 Februari lalu.

"Jadi persoalan ketidakhadiran ke mahkamah barangkali ada alasan yang boleh diterima mahkamah.

"Sekiranya mahkamah meneliti perlukan kepada tindakan lain, itu terpulang kepada mahkamah," kata Ahmad Marzuk lagi. - SINAR HARIAN

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain