suria

Kes tertukar bayi sudah selesai, hospital ambil tindakan susulan kecuaian petugas

Kes berkenaan tular selepas seorang pengguna Facebook memuat naik perkongsian di laman berkenaan. Gambar hiasan

TULAR di media sosial sebelum ini mengenai kes tertukar bayi di wad nurseri sebuah hospital di Melaka selepas seorang pelayar memuat naik perkongsiannya di Facebook.

Menerusi perkongsian itu, pemilik akaun, Nur Hafiza Md Rosli mendakwa bayi lelaki yang dilahirkan pada 12 Februari lalu tertukar dengan bayi lelaki lain.

Kejadian itu dipercayai berlaku ketika bayi tersebut mendapat rawatan di nurseri hospital terbabit selepas mengalami jaundis.

Bagaimanapun dalam perkembangan terbaharu, Exco Kesihatan dan Anti Dadah, Datuk Rahmad Mariman mengesahkan perkara tersebut telah diselesaikan secara baik dan tidak perlu dipanjangkan.

Beliau turut mengadakan pertemuan dengan keluarga bayi terbabit.

Menurutnya, hospital berkenaan juga telah melakukan siasatan dalaman dan akan mengambil tindakan berikutan kesilapan yang berlaku atas kecuaian petugas.

"Pada saya, kes ini dah selesai secara baik kedua-dua keluarga juga menerimanya dengan baik dan tempoh yang berlaku tak lama dalam tempoh dua, tiga hari.

"Pihak hospital juga telah memohon maaf kepada kedua-dua keluarga terbabit, dan saya juga mewakili Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) memohon maaf dan ini pertama kali berlaku di Melaka," katanya. -SINAR HARIAN

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain