suria

Berita baik! Program i-Sinar untuk 8 juta pencarum KWSP yang terjejas, pengeluaran maksimum meningkat kepada RM10,000

Program i-Sinar kini dibuka untuk kesemua 8 juta pencarum KWSP yang terjejas, dengan jumlah pengeluaran maksimum meningkat kepada RM10,000.

BERITA baik apabila kerajaan bersetuju untuk memperluaskan pengeluaran program i-Sinar daripada Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerjaan (KWSP) kepada semua ahli yang terjejas pendapatan akibat pandemik Covid-19.

Ia diumumkan oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2021 peringkat dasar bagi kementeriannya di Dewan Rakyat, pada Khamis.

Tengku Zafrul berkata, pengeluaran tersebut akan memanfaat lebih lapan juta pencarum berbanding dua juta sebelum ini.

ARTIKEL BERKAITAN: KWSP umum akses Akaun 1 dengan pendahuluan maksimum pertama antara RM4,000 - RM10,000 buat ahli terjejas

Jelasnya, kadar maksimum pengeluaran turut dinaikkan daripada RM9,000 sebelum ini kepada RM10,000.

"Tidak kira sama ada disebabkan hilang pekerjaan, terkurang pendapatan mereka tahun ini, ahli tersebut layak untuk membuat pengeluaran dari akaun satu, tanpa mengira ahli tersebut pekerja sektor formal atau bekerja sendiri, tanpa mengira ahli aktif mencarum atau tidak.

"Selagi terjejas pendapatan dengan ketara, mereka boleh mengeluarkan simpanan daripada akaun 1 KWSP.

"Daripada dua juta ahli yang layak sebelum ini, kita buka kepada lebih lapan juta ahli, tambahan pula setiap ahli yang sebelum ini dibenarkan mengeluarkan sehingga RM9,000, kini dibenarkan mengeluarkan sehingga RM10,000," katanya.

Tengku Zafrul berkata, ia membabitkan nilai peruntukan sebanyak RM70 bilion.

Beliau menambah, semua ahli yang layak perlu memohon secara dalam talian atau di pejabat KWSP, dan mengemukakan dokumen bahawa mereka kehilangan pekerjaan atau terjejas pendapatan.

"Tunjukkan sahaja bukti mengenai kehilangan pekerjaan, notis cuti tanpa gaji, potongan gaji, elaun atau OT mahupun pengurangan pendapatan jika bekerja sendiri," katanya.

Dalam pada itu, Kementerian Kewangan memberi jaminan bahawa keputusan untuk memperluaskan skim i-Sinar tidak akan menjejaskan dividen atau pulangan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain