suria

KWSP umum akses Akaun 1 dengan pendahuluan maksimum pertama antara RM4,000 - RM10,000 buat ahli terjejas

KWSP mengambil langkah memperluas skop i-Sinar yang merangkumi ahli yang kehilangan kerja, diberi cuti tanpa gaji atau tiada sumber pendapatan.

KUMPULAN Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan akses terhadap Akaun 1 untuk ahlinya yang terjejas dengan pendahuluan maksimum pertama antara RM4,000 hingga RM10,000.

Menerusi pengumuman pada Isnin, KWSP mengambil langkah memperluas skop i-Sinar yang merangkumi ahli yang kehilangan kerja, diberi cuti tanpa gaji atau tiada sumber pendapatan.

ARTIKEL BERKAITAN: KWSP sedang perhalusi kemudahan pengeluaran Akaun 1

"Ahli yang mempunyai baki RM90,000 dan ke bawah (Akaun 1) akaun mempunyai akses kepada amaun sehingga RM9,000. Ia akan dikreditkan berkala sehingga enam bulan dengan pendahuluan pertama sehingga RM4,000.

"Ahli yang mempunyai baki lebih RM90,000 (Akaun 1) akan mempunyai akses 10 peratus. Walau bagaimanapun, amaun maksimum yang boleh didahulukan adalah RM60,000. Amaun pendahuluan ii akan dikreditkan secara berkala sehingga enam bulan dengan pendahuluan pertama sehingga RM10,000," ujar kenyataan itu.

Mereka yang layak boleh membuat permohonan bermula Disember 2020 yang mana pengkreditan pertama bermula Januari 2021 dan akan diberi secara berkala sehingga enam bulan.

Dalam pada itu, KWSP memjelaskan ahli yang memilih memohon kemudahan i-Sinar perlu menggantikan amaun yang telah didahulukan.

"Caruman baharu akan dikreditkan 100 peratus ke dalam Akaun 1 sehingga amaun pendahuluan yang diterima telah digantikan semula.

"Selepas itu, caruman akan kembali ke kadar pecahan asal iaitu 70 peratus (Akaun 1) dan 30 peratus (Akaun 2).

Maklumat lanjut mengenai kelayakan i-Sinar akan dimaklumkan oleh KWSP dalam masa terdekat.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain