suria

Kes tembak anggota PGA: Dalang utama warga tempatan antara empat lagi suspek direman

Tiga warga tempatan termasuk seorang suspek utama dan seorang warga Thailand direman tujuh hari bermula Khamis. fotoBERNAMA

SUSPEK utama kes tembakan di antara Pasukan Gerakan Am (PGA) dan penyeludup di sempadan Malaysia-Thailand dua hari lepas, adalah antara tiga lelaki tempatan dan seorang rakyat Thailand yang ditahan reman tujuh hari bermula Khamis.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Perlis Datuk Surina Saad.

Beliau berkata, suspek utama merupakan warga tempatan berusia 45 tahun.

Terdahulu, perintah reman hingga 2 Disember ini terhadap empat lelaki terbabit dikeluarkan Pendaftar Majistret Kangar Monica Joseph Gaisah yang membenarkan permohonan pihak polis.

Keempat-empat suspek berusia 26 hingga 45 tahun terbabit yang berpakaian lokap dan bergari, tiba di kompleks mahkamah pada 9.10 pagi dan dibawa keluar dari bilik reman kira-kira 50 minit kemudian.

Dalam insiden awal pagi Selasa, Sarjan Baharuddin Ramli, 54, terbunuh manakala rakannya Sarjan Norihan a/l Tari, 39, cedera parah dalam kejadian berbalas tembakan dengan sekumpulan penyeludup, kira-kira 600 meter dari pos kawalan TS9 di Padang Besar, Perlis.

Mendiang Baharuddin, daripada suku kaum Semelai meninggal dunia di tempat kejadian, manakala rakannya Norihan yang sebelum ini dirawat di Hospital Tunku Fauziah (HTF) Kangar, kini dipindahkan ke Hospital Pulau Pinang untuk menerima rawatan lanjut.

Semalam, 15 warga tempatan diperintahkan direman selama empat hari manakala tiga rakyat Thailand direman seminggu bagi membantu siasatan kes itu. - Bernama

Artikel Berkaitan

Artikel Lain