suria

PKPB: Sejuta diarah bekerja dari rumah... berikut sektor yang boleh bekerja seperti biasa

Pekerja di stesen MRT dibenarkan bekerja seperti biasa sepanjang PKPB. -foto AZLINA ABDULLAH/The Star

DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob pada Rabu memberikan perincian mengenai pekerja yang dibenarkan bekerja seperti biasa di kawasan-kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Ia susulan arahan bekerja dari rumah (WFH) pada Selasa yang merangkumi pekerja sektor awam dan swasta dalam kawasan PKPB.

Menteri Kanan (Keselamatan) itu bagaimanapun berkata, setiap pekerja perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) PKPB yang telah ditetapkan.

ARTIKEL BERKAITAN: Tiada kompromi! Majikan diarah benarkan sejuta staf bekerja dari rumah hingga tamat PKPB

ARTIKEL BERKAITAN: PKPB: Sektor awam hanya benarkan maksimum 30 peratus ke pejabat

ARTIKEL BERKAITAN: PKPB: Hanya 10 peratus pekerja tertentu dibenar hadir ke pejabat

"Bagi pekerja sektor-sektor lain yang dikategorikan sebagai informal sektor seperti sektor peruncitan, makanan, perladangan, pertanian, penjaja, gerai-gerai makan, restoran, medan selera, kedai runcit, kedai serbaneka dan lain-lain dibenarkan bekerja seperti biasa mengikut SOP PKPB yang telah ditetapkan.

"Kedai-kedai lain itu boleh bekerja seperti biasa yang melibatkan perkhidmatan seperti keselamatan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang mengawal secara harian dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Tentu sahaja yang diperlukan berada di lapangan akan terus bekerja seperti biasa," katanya pada sidang media, petang Rabu.

Selain itu, Ismail Sabri berkata, pekerja bagi perkhidmatan pengangkutan seperti pengangkutan awam, bas ekspres, LRT, teksi, e-hailing dan khidmat penghantaran makanan (delivery service) juga boleh bekerja seperti biasa.

"Majikan perlu mengeluarkan surat perlepasan perjalanan bagi setiap kakitangan yang dibenarkan bekerja sepanjang tempoh PKPB ini," katanya.

Beliau menambah, senarai lain yang ditentukan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) boleh merujuk dengan laman sesawang kementerian itu.

Mengenai sektor awam, Ismail Sabri berkata, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman pada Rabu telah mengeluarkan pekeliling bagi memaklumkan berkenaan arahan ini di mana ketua jabatan hendaklah memastikan semua pegawai di peringkat pengurusan dan pentadbiran yang tidak diperlukan berada di pejabat, supaya bekerja dari rumah.

"Bagaimanapun, arahan bekerja dari rumah ini adalah terkecuali kepada pegawai awam yang berada di perkhidmatan penting dan diklasifikasikan kritikal bagi memastikan penyampaian perkhidmatan tidak terjejas dan berjalan lancar," katanya.

Pada Selasa, Ismail Sabri pada sidang media mengumumkan bahawa arahan bekerja dari rumah bagi pekerja sektor awam dan industri di Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan, Selangor dan Sabah yang berkuat kuasa bermula Khamis, 22 Oktober 2020 sehingga tamat tempoh PKPB.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!



TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain