suria

Dua beranak, 6 pekerja ditahan kes pencemaran Sungai Selangor, punca gangguan bekalan air libatkan 5 juta pengguna Lembah Klang

Kes pencemaran Sungai Selangor sebelum ini yang mengakibatkan gangguan bekalan air. -gambar hiasan/foto Bernama

DUA pengarah syarikat dan enam pekerja telah ditahan berhubung kes terkini pencemaran Sungai Selangor yang mengakibatkan gangguan bekalan air melibatkan 1.2 juta pemegang akaun atau lima juta pengguna di sekitar Lembah Klang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Fadzil Ahmat, berkata lapan suspek termasuk dua pekerja warga asing ditahan di Rawang jam 11.30 pagi tadi.

"Polis menahan dua lelaki berumur 62 tahun serta anaknya berumur 31 tahun iaitu pengarah syarikat di Rawang.

"Polis turut menahan enam pekerja, iaitu dua warga tempatan dan empat lelaki warga asing dari Nepal, Pakistan dan Myanmar.

"Semua suspek akan direman esok di Mahkamah Selayang. Kes disiasat mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan," katanya dalam satu kenyataan, Rabu.

Fadzil berkata, tangkapan itu susulan insiden pencemaran sungai yang dikesan oleh Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) jam 12.38 pagi pada 19 Oktober lalu.

"Air Selangor mengesan bau abnormal pada sumber air mentah di Sungai Selangor. Ekoran itu Loji Rawatan Air (LRA) Rantau Panjang terpaksa dihenti tugas apabila kadar bau dikesan pada paras tiga ton.

"Pada jam 2.00 pagi, beberapa LRA yang lain turut terpaksa dihenti tugas apabila kadar bau dikesan pada paras tiga ton.

"Hasil siasatan awal mendapati bau yang dikesan berakhir di alur air Sungai Gong, Rawang yang disyaki bermula dari sebuah syarikat membaiki dan menjual jentera pembinaan," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain