suria

Malaysia rekod kes harian ke-2 tertinggi... 260 positif Covid-19, 4 kluster baharu dikesan

Malaysia merekodkan 260 kes positif Covid-19 pada Khamis, iaitu jumlah kedua tertinggi yang direkodkan setakat ini. Foto: Bernama

PERKEMBANGAN terkini penularan Covid-19 di negara ini merekodkan 260 kes baharu, menjadikan keseluruhan 11,484 kes setakat Khamis.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 1,334 kes dan mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.

Beliau berkata, daripada 260 kes baharu yang dilaporkan, hanya satu kes import melibatkan seorang bukan warganegara yang pulang dari luar negara.

ARTIKEL BERKAITAN: Korban akibat Covid-19 bertambah 2 lagi, 89 kes baharu direkodkan

Menurut Dr Noor Hisham, daripada 259 kes penularan tempatan, ia melibatkan 130 warganegara Malaysia dan 129 adalah rakyat asing.

Ujarnya, sebanyak 31 kes hari ini mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah.

"Adalah dimaklumkan bahawa tiada pertambahan kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan pada hari ini.

"Justeru, jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia adalah kekal sebanyak 136 kes," katanya dalam sidang media Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada Khamis.

Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 47 kes telah pulih Covid-19 pada Khamis dan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya adalah 10,014 kes.

"Sehingga kini, terdapat terdapat 20 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di mana tiga kes memerlukan bantuan pernafasan," katanya.

Sementara itu ujarnya, KKM mengenal pasti empat kluster baharu iaitu Bah Ketil, Langkawi (3 kes); Kluster Joo Hwa, Tawau, Sabah (1 kes); Kluster Selasih, Putrajaya (5 kes) dan Kluster Jalan Meru, Klang (3 kes).

Beliau menambah, sebanyak 28 kluster sedia ada yang aktif masih dipantau rapi.

Untuk rekod, Malaysia pernah mencatatkan kes Covid-19 tertinggi pada 4 Jun 2020 iaitu sebanyak 277 kes, yang mana 270 kes adalah di kalangan bukan warganegara daripada Depot Tahanan Imigresen (DTI) Bukit Jalil.

Dengan 260 kes positif Covid-19 dicatat pada hari ini, ianya merupakan kedua tertinggi pernah dicatatkan di Malaysia setakat ini.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Covid-19, kluster baharu, KKM, rekod

Artikel Lain