suria

Guru wanita positif Covid-19, SK Permatang Janggus di P.Pinang ditutup hingga 8 Oktober

Sebuah sekolah rendah di Pulau Pinang ditutup berikutan seorang gurunya positif Covid-19. Gambar hiasan

SEBUAH sekolah rendah di Pulau Pinang diarahkan ditutup buat sementara waktu susulan seorang gurunya didapati positif Covid-19.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang, Abdul Rashid Abdul Samad berkata, Sekolah Kebangsaan Permatang Janggus, Penaga diarahkan untuk ditutup berkuatkuasa bermula Khamis (hari ini) sehingga 8 Oktober bagi membendung penularan pendemik Covid-19.

"Setakat ini, sekolah itu akan ditutup selama lapan hari dan sebarang keputusan lain akan dibuat selepas kami bermesyuarat dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),"katanya.

Katanya beliau belum mendapat laporan lengkap dari SK Permatang Janggus, namun dimaklumkan semua murid di situ perlu menjalani ujian saringan Covid-19 yang dijalankan di sekolah hari ini.

Difahamkan guru wanita berusia lingkungan 40-an itu dilaporkan tidak sihat ketika di sekolah, sebelum mendapatkan rawatan di sebuah hospital di Kedah kerana tinggal di Sungai Petani dan ujian Covid-19 mendapati dia positif.

Difahamkan guru wanita itu isteri kepada seorang ahli politik di Kedah dan suaminya sebelum itu pergi berkempen di Sabah, semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah baru-baru ini.

Sementara itu tinjauan Bernama di sekolah berkenaan mendapati ibu bapa serta penjaga menunggu anak-anak mereka yang menjalani ujian saringan Covid-19 dalam kawasan sekolah, sebelum dibenarkan pulang ke rumah.

Menurut mereka, pihak sekolah memaklumkan kepada waris menerusi aplikasi WhatsApp pagi ini yang kesemua 600 murid perlu menjalani ujian saringan Covid-19 tersebut, dan diarahkan dikuarantin di rumah. - BERNAMA

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain