suria

Giliran Zuraida dikuarantin akibat Covid-19

Zuraida perlu menjalani tempoh berkenaan kerana terdedah dengan kontak rapat yang disahkan positif Covid-19.

KINI giliran Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Zuraida Kamaruddin dikuarantin susulan penularan Covid-19.

Sebelum ini, beberapa menteri dan ahli politik telah diarah menjalani kuarantin akibat pandemik berkenaan.

Zuraida perlu menjalani tempoh berkenaan kerana terdedah dengan kontak rapat yang disahkan positif Covid-19.

Difahamkan, kontak rapat tersebut merupakan pembantu peribadi kepada seorang exco Kedah yang turut hadir pada program bersama Zuraida di Langkawi, Sabtu lalu.

Setiausaha politiknya, Nor Hizwan Ahmad dalam kenyataan berkata, Zuraida menjalani tempoh kuarantin selama 14 hari seperti saranan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Pada pagi Ahad, Zuraida hadir ke program Malaysia Urban Forum di Kuala Lumpur dan dimaklumkan pada petangnya bahawa terdapat satu kes positif Covid-19 dalam program di Langkawi tersebut," katanya lapor SinarHarian.

Menurutnya, pada pagi Isnin, Zuraida sekali lagi menjalani ujian swab dan keputusannya juga negatif.

"Saya mengambil maklum keprihatinan beberapa pihak tentang status kesihatan dan keselamatan Zuraida usai berkempen di Pilihan Raya Negeri Sabah baru-baru ini," katanya.

Sebelum ini beberapa menteri dan ahli politik dikuarantin selepas pulang berkempen pada PRN Sabah.

Antaranya Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dan Ketua Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan.

Selain itu, Pengarah Komunikasi Strategik PKR, Fahmi Fadzil turut menjalani kuarantin selepas seorang kakitangan di pejabat Ahli Parlimen Lembah Pantai disahkan positif Covid-19.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Zuraida, KPKT, Covid-19, kuarantin, Langkawi, exco

Artikel Lain