suria

Covid-19: Kadar kebolehjangkitan di Selangor lebih tinggi berbanding Sabah

Petugas kesihatan menjalankan ujian saringan Covid-19. Gambar hiasan/Foto Bernama

WALAUPUN peningkatan kes Covid-19 dicatatkan di Sabah, tetapi Selangor mencatatkan kadar kebolehjangkitan (Rt) yang lebih tinggi iaitu 1.95.

Ia berikutan peningkatan dalam jumlah kes harian baharu di Selangor daripada dua hingga tiga kes kepada 10 ke 15 kes.

RT menunjukkan kadar secepat mana penularan Covid-19 merebak.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia mengambil kira magnitud perubahan dan menunjukkan peningkatan risiko wabak yang lebih besar di negeri itu, sekiranya langkah-langkah pencegahan kesihatan awam tidak diambil.

"Nilai Rt di Sabah telah stabil walaupun masih berada pada tahap 1.26 semalam (29 September). Keadaan ini masih merisaukan kerana ia melibatkan bilang kes-kes baharu yang tinggi.

"Nilai Rt mungkin akan meningkat, jika kita tidak mengambil langkah-langkah intervensi kesihatan awam yang optima," katanya menerusi status yang dimuat naik di Facebook pada Rabu.

Sementara itu, nilai Rt di Kedah menurun daripada lebih besar daripada satu (> 1) kepada 0.65 dan ia sejajar dengan kadar penurunan kes di negeri itu yang merekodkan hanya dua kes dalam tempoh empat hari.

Noor Hisham berkata, keadaan itu menggambarkan pematuhan terhadap prosedur operasi standad yang ditetapkan.

Sehubungan itu beliau mengingatkan adalah penting untuk semua rakyat Malaysia terus mematuhi SOP serta langkah-langkah yang telah ditetapkan kerajaan sebelum ini. - Bernama

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain