suria

52 kes Covid-19 direkodkan, Sabah catat jumlah tertinggi... Kluster Ara pula dikesan di Pulau Pinang

Malaysia mencatatkan 52 kes baharu positif Covid-19 pada Ahad. Foto: Bernama

PERKEMBANGAN terkini penularan Covid-19 di negara ini merekodkan 52 kes baharu, menjadikan keseluruhan 10,219 kes setakat Ahad.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 734 kes, dan mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.

Beliau berkata, daripada 52 kes baharu yang dilaporkan, 12 adalah kes import telah mendapat jangkitan di luar negara melibatkan tiga warganegara dan sembilan rakyat asing.

ARTIKEL BERKAITAN: Malaysia catat 20 kes baharu Covid-19, satu kematian... terkini Kluster Bakau di Semporna, Sabah

Menurut Dr Noor Hisham, sebanyak 40 kes adalah penularan tempatan, terdiri daripada 26 warganegara Malaysia dan 14 rakyat asing.

Sabah mencatatkan jumlah kes tertinggi iaitu 36 kes, dengan 27 daripadanya daripada Kluster Benteng.

Sementara itu, tiga kes direkodkan di Kedah iaitu kes saringan komuniti di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran Daerah Kota Setar.

Satu kes Covid-19 daripada Kluster Ara, iaitu kluster baharu pula dikesan di Pulau Pinang melibatkan seorang rakyat tempatan.

Tiada kes kematian baharu berkaitan Covid-19 dilaporkan pada hari ini.

Justeru, jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 130 kes setakat Ahad.

Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 40 kes telah pulih Covid-19 pada Ahad dan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya adalah 9,355 kes.

Untuk rekod terkini, terdapat 10 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di mana dua kes memerlukan bantuan pernafasan.

Sementara itu, mengulas mengenai Kluster Ara yang dilaporkan di Pulau Pinang, Dr Noor Hisham berkata kes indeks kluster ini adalah seorang lelaki berumur 44 tahun yang merupakan warganegara Malaysia (kes ke-10,024).

Kes indeks telah dikesan positif Covid-19 melalui saringan di Pintu Masuk Antarabangsa (PMA) Sandakan, Sabah pada 15 September 2020 berikutan kedatangan kes dari Semenanjung Malaysia.

"Susulan itu, saringan kontak rapat telah dijalankan dan satu kes positif Covid-19 dikenal pasti. Kes positif ini (kes ke-10,217) merupakan merupakan anak saudara kepada kes indeks. Kes dikesan positif Covid-19 pada 19 September 2020 dan telah dimasukkan ke Hospital Pulau Pinang untuk rawatan," kata beliau.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Covid-19, KKM, Kluster Ara

Artikel Lain