suria

Pesawat ringan dikhuatiri terhempas, terjunam dalam laut berhampiran Tanjung Bungah

Operasi mencari dan menyelamat sebuah pesawat ringan yang dikatakan terhempas ke dalam laut berhampiran perairan Tanjung Bungah. Foto: Penangkini/Mamujarum

SEBUAH pesawat ringan dikhuatiri terhempas dan tenggelam ke dalam laut berhampiran perairan Tanjung Bungah, Pulain Pinang, petang tadi.

Memetik laporan Utusan Online, kejadian tersebut berlaku kira-kira pukul 2 petang Ahad.

Pesawat ringan yang dipercayai milik persendirian itu dilihat berlegar-legar di udara sebelum dikatakan terhempas ke dalam laut.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, polis menerima laporan daripada saksi memaklumkan yang dia bersama rakannya ternampak pesawat ringan itu yang terhempas.

"Mereka mendakwa ternampak pesawat tersebut terhempas kira-kira pukul 2 petang sebelum memaklumkan kejadian berkenaan kepada pihak berkuasa.

"Polis bersama beberapa agensi lain menjalankan operasi mencari dan menyelamat di kawasan tersebut namun sehingga pukul 6.30 petang ini, kami tidak menemukan sebarang petunjuk atau bangkai pesawat yang didakwa terhempas," katanya.

Terdahulu, tular dalam laman sosial mengenai seorang lelaki yang mendakwa ternampak sebuah pesawat ringan terhempas sebelum terjunam ke dalam laut di kawasan perairan Tanjung Bungah.

Menurut Soffian, setakat ini pihak polis masih belum menerima laporan berhubung insiden pesawat terhempas dari Jabatan Penerbangan Awam (DCA).

"Operasi dihentikan kira-kira pukul 7 petang berikutan cuaca semakin gelap dan disambung esok jika pihak polis mendapat maklumat terbaharu mengenai kejadian tersebut," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat atau melihat kejadian pesawat terhempas itu diminta tampil menyalurkan maklumat kepada polis.

"Polis juga memohon kerjasama orang ramai yang kehilangan ahli keluarga terdiri daripada pemandu pesawat ringan agar tampil membuat laporan.

"Setakat ini kami tidak menerima sebarang laporan daripada keluarga mangsa," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain