suria

Malaysia catat 20 kes baharu Covid-19, satu kematian... terkini Kluster Bakau di Semporna, Sabah

Petugas kesihatan menjalankan ujian saringan Covid-19. Gambar hiasan/Foto Bernama

PERKEMBANGAN terkini penularan Covid-19 di negara ini merekodkan 20 kes baharu, menjadikan keseluruhan 10,167 kes setakat Sabtu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 722 kes, dan mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.

Beliau berkata, daripada 20 kes baharu yang dilaporkan, tiga adalah kes import telah mendapat jangkitan di luar negara melibatkan dua warganegara dan seorang bukan warganegara.

ARTIKEL BERKAITAN: Malaysia catat 21 kes baharu Covid-19, terkini Kluster Selamat dikesan di Semporna, Sabah

Menurut Dr Noor Hisham, sebanyak 17 kes adalah penularan tempatan, terdiri daripada 14 warganegara Malaysia dan tiga bukan warganegara.

"Adalah dimaklumkan bahawa terdapat pertambahan satu kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan pada hari ini.

"Justeru, jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 130 kes," katanya dalam satu kenyataan, petang Sabtu.

Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 51 kes telah pulih Covid-19 pada Sabtu dan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya adalah 9,315 kes.

"Sehingga kini, terdapat terdapat 12 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di mana dua kes memerlukan bantuan pernafasan," katanya.es indeks," katanya.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, terdapat kluster baharu iaitu Kluster Bakau yang dilaporkan di Semporna, Sabah, dan tiga kes dikesan positif Covid-19 setakat Sabtu.

"Kes indeks kluster ini adalah seorang perempuan warganegara Filipina (iaitu kes ke-10,145) yang merupakan kes kematian ke-129 yang telah dilaporkan pada 18 September 2020.

"Saringan Covid-19 kes indeks didapati positif pada 16 September 2020. Susulan itu, saringan kontak rapat telah dijalankan dan dua lagi kes positif Covid-19 bagi Kluster Bakau dikenal pasti," katanya.

Berikut adalah butiran kes kematian ke-130:

Kes kematian ke-130 (kes ke-9,578) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 82 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit strok serta sukar bergerak sendiri sejak Mac 2020 akibat patah tulang utama di kaki.

Beliau mengalami gejala demam pada 4 September 2020 namun tidak mendapatkan rawatan. Pada 7 September 2020, beliau telah dikesan sebagai kontak rapat kepada anak dan cucu beliau yang merupakan kes positif dalam Kluster Sungai (iaitu kes ke-9,458 dan kes ke-9,547), lalu dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah.

Saringan Covid-19 didapati positif pada 9 September 2020. Keadaan beliau didapati merosot dan dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU).

Beliau disahkan meninggal dunia pada 18 September 2020 jam 5.45 petang.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain