suria

Malaysia catat 21 kes baharu Covid-19, terkini Kluster Selamat dikesan di Semporna, Sabah

Petugas khas menjalankan ujian saringan Covid-19. Gambar hiasan/Foto Bernama

PERKEMBANGAN terkini penularan Covid-19 di negara ini merekodkan 21 kes baharu, menjadikan keseluruhan 10,502 kes setakat Khamis.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 674 kes, dan mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.

Beliau berkata, daripada 21 kes baharu yang dilaporkan, lima adalah kes import melibatkan warganegara yang pulang dari luar negara.

Menurut Dr Noor Hisham, sebanyak 16 kes adalah penularan tempatan, terdiri daripada 15 warganegara Malaysia dan seorang bukan warganegara.

"Adalah dimaklumkan bahawa tiada pertambahan kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan pada hari ini.

"Justeru, jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia adalah kekal sebanyak 128 kes," katanya dalam satu kenyataan, petang Khamis.

Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 15 kes telah pulih Covid-19 pada Khamis dan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya adalah 9,250 kes.

"Sehingga kini, terdapat terdapat 13 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di mana dua kes memerlukan bantuan pernafasan," katanya.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, terdapat satu kluster baharu iaitu Kluster Selamat dilaporkan di Semporna, Sabah dan dua kes dikesan positif Covid-19 setakat Khamis.

"Kes indeks kluster (iaitu kes ke-9,969) merupakan seorang wanita warganegara Malaysia yang berusia 32 tahun. Beliau didapati positif Covid-19 pada 14 September 2020 ketika saringan kemasukan ke Hospital Tawau bagi kelahiran pramatang.

"Hasil saringan kontak rapat dan pengesanan kes secara aktif, satu lagi kes positif Covid-19 telah dikesan. Kes merupakan pegawai perubatan yang merawat kes indeks," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain