Mangsa terakhir keracunan karbon monoksida diberi rawatan HBOT, masih dipantau di ICU

Tiga sahabat maut manakala seorang lagi kritikal akibat keracunan karbon monoksida ketika berehat di kawasan parkir sebuah stesen minyak. Foto: Bernama

MANGSA terakhir yang ditemui tidak sedarkan diri akibat keracunan karbon monoksida bersama tiga yang lain di Butterworth, Pulau Pinang, diberikan rawatan Hyperbaric Oxygen Therapy (HBOT) di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, Wangsa Maju, Kuala Lumpur.

Menurut markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM), keadaan Nor Aqilah Mohd Safwan, 21, masih dipantau dan diberi rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) berdasarkan keadaan beliau yang belum menunjukkan perkembangan positif.

ARTIKEL BERKAITAN: Tragis kisah 4 rakan baik... 3 maut akibat keracunan karbon monoksida, seorang kritikal

"Mangsa telah dipindahkan dari Hospital Seberang Jaya, Pulau Pinang ke Hospital Tuanku Mizan pada tarikh kejadian.

"ATM mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk mendoakan situasi terbaik buat mangsa dan semoga keluarga beliau diberi semangat dan kekuatan dalam menghadapi ujian ini," menurut kenyataan itu.

Media pada Khamis melaporkan tiga wanita maut manakala seorang lagi berada dalam keadaan kritikal akibat mengalami keracunan karbon monoksida, selepas mereka tertidur dalam kereta sewaktu berehat di kawasan parkir sebuah stesen minyak di Sama Gagah, di Butterworth, Rabu malam.

Tiga yang meninggal dunia dalam kejadian itu dikenali sebagai Sharifah Fariesha Syed Fathi, Ayuni Shazwanie Shabri, dan Nor Adilah Mohd Safwan, manakala yang sedang dirawat adalah Nor Aqilah, yang merupakan kembar kepada Nor Adilah.

Keempat-empat rakan baik berumur 21 tahun itu telah pergi ke Pulau Jerejak, sempena cuti umum Hari Malaysia pada Rabu, dan difahamkan mereka dalam perjalanan pulang ke rumah masing-masing di Sungai Petani dan Gurun, Kedah, apabila mengambil keputusan untuk berhenti rehat di kawasan parkir berkenaan, sebelum ditemui tidak sedarkan diri. - BERNAMA

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Berikut

MPS sita pejabat Azmin, Hilman di Gombak

Artikel Berkaitan

Artikel Lain