suria

Ayuh Kita Merdeka cipta kelainan... Awi Rafael, Aiman Tino cetus aura positif di sebalik Covid-19

AEON memperkenalkan telemovie, Kita Merdeka dan muzik video, Ayuh Kita Merdeka dalam menyemarakkan lagi Hari Kebangsaan pada tahun ini.

HARI Kebangsaan tahun ini disemarakkan lagi dengan penghasilan telemovie, Kita Merdeka dan muzik video, Ayuh Kita Merdeka oleh AEON Retail Malaysia.

Digarap sebagai sebuah karya penghargaan buat petugas barisan hadapan termasuk yang bekerja dalam perkhidmatan dan produk penting, ia bakal menemui penonton pada pukul 10 malam, 29 Ogos ini menerusi siaran TV3.

Sewaktu pelancaran di sebuah hotel di Petaling Jaya, Selangor pada Isnin lalu, mStar sempat menemubual individu-individu penting yang terlibat dalam penghasilan dua karya bertemakan patriotik itu.

Menurut teraju utama telemovie Kita Merdeka, Azlee Khairi, dia menyifatkan naskhah itu sebagai satu perjalanan realiti yang dihadapi seluruh rakyat negara ini khususnya sejak wabak Covid-19 memuncak pada Mac lalu.

"Dalam telemovie ini, ia mengajar saya bahawa merdeka itu bukan sekadar kibar bendera semata-mata.

"Naskhah ini juga berkait rapat dengan kehidupan sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), saya pada waktu itu pun ada bergerak sendiri beri bantuan pada petugas barisan hadapan," ujarnya.

Menurut pelakon itu lagi, dia mahu telemovie itu menjadi medium untuk mengangkat hero yang tidak didendang selama ini.

Jelasnya, petugas barisan hadapan bukan sahaja mereka yang bertugas sebagai doktor, jururawat, polis dan tentera, malah mereka yang bekerja di pasar raya juga banyak berkorban sepanjang tempoh getir itu.

Azlee Khairi selaku teraju utama telemovie itu.

"Saya rasa ini topik yang patut diangkat. Kalau ikutkan, pengawal keselamatan juga petugas barisan hadapan, begitu juga dengan pekerja pasar raya.

"Karya ini untuk menghargai mereka, mungkin orang tak nampak apa yang dilakukan selama ini, malah mereka juga terkesan seperti kita semua," ujarnya.

Seorang lagi pelakon yang menjayakan telemovie itu, Elisya Sandha mengakui agak sukar untuknya menjiwai watak yang dipegang memandangkan situasi Covid-19 tidak pernah berlaku sebelum ini.

Namun katanya, dia banyak mempelajari pengalaman baharu termasuklah ketika bergaul secara langsung dengan petugas-petugas AEON sewaktu penggambaran berlangsung.

Fadlan Hazmi banyak bergaul dengan kakitangan AEON untuk lebih menjiwai karakter lakonannya.

"Agak mencabar kerana kita tak pernah berhadapan situasi seperti ini. Sebab saya pun bukan petugas barisan hadapan, jadi saya banyak bertanya kepada kakitangan AEON. Mereka banyak membantu saya.

"Antara cabaran lain termasuklah penggambaran yang berlangsung dalam suasana baharu, perlu ikut operasi prosedur standard (SOP)," ujarnya lagi.

Turut senada dengan Elisya, seorang lagi pelakon iaitu Fadlan Hazmi yang turut bergaul rapat dengan kakitangan AEON untuk menjiwai watak dalam karya itu.

"Saya sendiri dari pagi sampai malam sepanjang penggambaran banyak dengar cerita mereka agar mudah untuk diterjemahkan dalam karakter yang dibawa.

"Boleh lihat dari perspektif pekerja AEON, bagaimana mereka menghadapi saat PKP, berhadapan dengan pelanggan yang membuat pembelian panik dan sebagainya.

"Karya ini memaparkan kesukaran yang dihadapi supaya orang di luar sana lebih sedar dan menghargai segala pengorbanan yang dilakukan," ujarnya.

Dalam pada itu, telemovie Kita Merdeka turut memaparkan inisiatif yang telah dilaksanakan oleh pihak AEON sepanjang PKP termasuklah Projek Roti Putih,"Personal Shopper", Projek Berkat Ramadan, Projek AEON Rider dan banyak lagi.

Antara pelakon lain yang terlibat termasuklah Amy Mastura, Keith Foo, Riezman Khuzaimi, Rahim Omar, Shiela Mambo, Izzendra and Wilma Muhammad.

Antara pelakon yang membarisi telemovie Kita Merdeka.

Mengiringi telemovie Kita Merdeka tentunya lagu tema, Ayuh Kita Merdeka yang digarap dalam dua versi berbeza.

Ia dihasilkan oleh label muzik penyanyi Awi Rafael, Newsantara yang mempertaruhkan versi rasmi nyanyian Aiman Tino, MimiFly, Mya Herry, Qhall, H.P.G dan Spectre F.

Versi kedua dalam nuansa balada pula dinyanyikan oleh Awi sendiri, duet bersama Sarah Fazny.

Menurut Awi, mesej utama karya itu bertujuan meniup semangat dan jiwa positif khususnya selepas seluruh dunia dilanda pandemik Covid-19.

Ujarnya, pandemik itu juga banyak mengajar anak seni seperti dirinya dan rakan artis lain untuk bekerja dalam cara yang lebih kreatif.

"Covid-19 banyak mengajar betapa rapuhnya kehidupan, ia juga memaparkan sisi kemanusiaan tanpa mengira dari negara mana kamu datang.

Ketua Pegawai Eksekutif AEON Retail Malaysia, Shafie Shamsuddin.

"Lagu ini juga mengenai merdeka dalam jiwa kita, bagaimana semua orang boleh kejar impian masing-masing. Kita bukan sekadar merdeka sebuah negara, tapi merdeka jiwa dan merdeka apabila bebas dari virus Covid-19," ujarnya.

Menurut salah seorang penyanyi terlibat, Aiman Tino, dia menganggap penglibatan dalam karya patriotik itu sebagai peluang besar untuk dirinya sebagai rakyat Malaysia.

"Ini lagu pertama saya melibatkan genre patriotik dan kemerdekaan. Saya dan penyanyi-penyanyi lain yang terlibat ada pengikut masing-masing.

"Jadi ia tanggungjawab kami untuk sampaikan mesej positif kepada rakyat di negara ini berkenaan Covid-19 dan juga kemerdekaan negara," ujarnya lagi.

Untuk rekod, sesi penggambaran video klip lagu Ayuh Kita Merdeka dirakam di AEON Shah Alam, Selangor dan tersedia untuk dilayari menerusi platform Spotify, Joox dan Apple Music pada 28 Ogos termasuklah ditonton menerusi laman YouTube AEON sendiri.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif AEON Retail Malaysia, Shafie Shamsuddin berkata, karya itu dihasilkan sebagai penghargaan buat pekerja, rakan kongsi, pembekal dan seluruh ekosistem yang terlibat dalam memastikan setiap keperluan rakyat di negara ini mencukupi sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Kami menghargai pengorbanan petugas barisan hadapan termasuklah pekerja kami semasa PKP dilaksanakan, dan kami memahami perasaan ahli keluarga mereka yang takut dan resah ketika mereka datang bekerja seperti biasa semasa kes Covid-19 meningkat.

Awi Rafael berduet bersama Sarah Fazny menyanyikan lagu Ayuh Kita Merdeka versi balada.

"Justeru, telemovie ini adalah satu penghormatan kami kepada mereka yang bekerja tanpa putus bagi memastikan bekalan keperluan harian rakyat Malaysia di seluruh negara sentiasa mencukupi," ujarnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Sumber Manusia & Pengarah Komunikasi Korporat AEON Retail Malaysia, iaitu Dr. Kasuma Satria mendedahkan idea penghasilan karya itu bermula pada awal Julai sebelum diterjemahkan menjadi realiti dalam tempoh singkat dengan kerjasama semua pihak.

Malah kataya, karya itu juga banyak memaparkan budaya kerja warga AEON termasuk semangat mereka dalam melaksanakan tugas sepanjang PKP.

"Kami mahu merakam detik ini kerana ia sebahagian sejarah negara kita, ini kali pertama Covid-19 berlaku dan ia memberi impak kepada kita semua.

Aiman Tino mahu menggunakan lagu itu sebagai platform untuknya menyampaikan mesej positif.

"Kakitangan AEON juga perlu bekerja untuk memastikan bekalan keperluan mencukupi buat rakyat negara ini.

"Pada masa sama, kami juga risau dengan penularan virus itu. Namun ia menjadi tanggungjawab kami untuk berkhidmat buat negara.

"Kakitangan AEON mahupun mana-mana pasar raya lain juga merupakan petugas barisan hadapan, malah kami menggelarkan diri kami sebagai AEON Warrior, katanya lagi.

AEON juga telah menerima surat sokogan daripada Datuk Alexander Nanta Linggi yang mengalu-alukan dan menyokong usaha murni pihak AEON dalam menggunakan medium telemovie untuk menzahirkan pengkargaan kepada komitmen dan pengorgbanan frontliner dari pelbagai pihak.

Selaras dengan projek telemovie itu, pihak AEON turut melancarkan kempen promosi jualan digital 828 menerusi platform digital https://myaeon.com.my/, kempen selama 63 jam bermula 10 pagi, Jumaat dan tamat pada 1 pagi 31 Ogos ini.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain