Kes Covid-19 babitkan seorang pesakit, Hospital Adventist P. Pinang tutup 2 hari

Hospital Adventist Pulau Pinang ditutup selama dua hari bagi tujuan pembersihan serta pembasmian kuman susulan seorang pesakit yang hadir mendapatkan rawatan beberapa hari lalu disahkan positif Covid-19. Foto: Bernama

SUSULAN terdapat seorang pesakit yang hadir mendapatkan rawatan beberapa hari lalu disahkan dijangkiti Covid-19, Hospital Adventist Pulau Pinang ditutup dua hari bermula hari ini.

Penutupan itu dilakukan bagi tujuan pembersihan serta pembasmian kuman.

Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan hospital itu, hanya Jabatan Kemalangan dan Kecemasan hospital berkenaan beroperasi seperti biasa.

"Tindakan ini diambil untuk menjamin keselamatan semua kakitangan, pesakit dan pengunjung kami," menurut kenyataan itu.

Media pada Jumaat melaporkan seorang pesakit wanita berusia 56 tahun yang dimasukkan ke hospital itu sejak 7 Ogos lepas kerana jangkitan luka pada kaki telah dikenal pasti merupakan kontak rapat kepada salah satu kes positif Covid-19 di Kedah oleh Jabatan Kesihatan Kedah pada 12 Ogos lalu.

Laporan itu menyebut, wanita warga tempatan itu kemudiannya dipindahkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) dan ujian yang dijalankan di HPP turut mendapati wanita itu positif Covid-19. - BERNAMA

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain

Ibu Chef Zam meninggal dunia akibat pneumonia