suria

Dikaitkan kes rasuah RM 3.7 juta selepas penahanan bekas setiausaha sulit kanan, Mohamaddin sedia ke mahkamah - “Kemuka bukti, kita lawan di mahkamah”

Bekas Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Mohamaddin Ketapi meminta pihak yang mengaitkan dirinya dengan kes rasuah bernilai RM 3.7 juta agar mengemukakan bukti.

"JIKA ada bukti, kemukakan fail, kita lawan di mahkamah," demikian kata bekas Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Mohamaddin Ketapi meminta pihak yang mengaitkan dirinya dengan kes rasuah bekas setiausaha sulit kanannya agar mengemukakan bukti berdokumen.

Mohamaddin turut menyatakan kesediaannya ke mahkamah jika ada bukti mengenai perkara itu.

Beliau ditemui media selepas perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Parti Warisan Sabah bagi sayap Wanita, Wira dan Wirawati Bahagian Lahad Datu, Sabah pada Sabtu.

ARTIKEL BERKAITAN: Kes rasuah membabitkan nilai RM3.7 juta, bekas setiausaha sulit kanan kepada bekas menteri direman 5 hari bersama tunang

Mohamaddin berkata demikian sebagai mengulas laporan media pada Sabtu mengenai bekas pegawai kanan bekas seorang menteri dan tunangnya direman lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes rasuah membabitkan RM3.7 juta yang dibayar sebuah syarikat untuk mendapatkan projek kementerian yang diterajui Mohamaddin.

Perintah reman hingga 19 Ogos itu dikeluarkan Mahkamah Majistret Putrajaya selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Mohamaddin yang juga Ahli Parlimen Lahad Datu turut berkata beliau menerima ancaman dan juga 'tawaran' selepas isu setiausaha sulit kanannya dicari oleh SPRM dilaporkan oleh media.

Media pada 12 Jun lalu melaporkan SPRM menjejaki suspek bagi membantu siasatan kes rasuah melibatkan projek pengiklanan di kementerian tersebut bernilai RM90 juta.

Kes disiasat di bawah Seksyen 17 Akta SPRM 2009. - BERNAMA

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain