Pengarah Jabatan Penguatkuasaan MBSA direman 6 hari bantu siasatan kes rasuah premis perniagaan haram di Sungai Buloh

Pengarah Jabatan Penguatkuasaan MBSA direman enam hari bagi membantu siasatan kes rasuah kerana dipercayai terbabit dalam sindiket melindungi premis perniagaan tanpa lesen dan pusat perjudian di Sungai Buloh. Foto: Bernama

SELEPAS sembilan individu yang terdiri daripada pegawai dan anggota penguatkuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) termassuk seorang peniaga ditahan beberapa hari lalu, terbaharu Pengarah Jabatan Penguatkuasaannya pula direman selama enam hari.

Perintah reman terhadap suspek yang berusia 59 tahun ini adalah bagi membantu siasatan kes rasuah kerana melindungi premis perniagaan haram dan pusat perjudian di sekitar Sungai Buloh, Selangor.

Perintah reman bermula pada Jumaat (hari ini) sehingga Rabu depan dikeluarkan Majistret Shah Wira Abdul Halim di Mahkamah Majistret Putrajaya petang Jumaat.

ARTIKEL BERKAITAN: Terima rasuah, lindungi premis tanpa lesen... SPRM tahan 3 penguatkuasa MBSA

Terdahulu suspek ditahan di ibu pejabat SPRM di Putrajaya selepas diambil keterangan pada jam 10.15 pagi.

Suspek dibawa ke mahkamah pada jam 3.07 petang dengan berbaju lokap SPRM berwarna jingga.

Pagi Jumaat, tiga pegawai penguat kuasa MBSA turut direman enam hari untuk membantu siasatan kes menerima dan mengutip rasuah untuk melindungi premis perniagaan haram di Sungai Buloh.

Penangkapan terbaru ini menjadi keseluruhan 10 individu telah ditahan SPRM bagi kes berkenaan melibatkan sembilan pegawai dan anggota penguat kuasa MBSA dan seorang peniaga. - BERNAMA

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain