suria

Kluster Sivagangga: 139 tabika, taska Kemas di Kedah ditutup sementara waktu

Tadika Kemas Kampung Natoi antara tadika yang ditutup bagi mencegah penularan Covid-19. Foto: Bernama

PENULARAN wabak Covid-19 yang melibatkan kluster Sivagangga menyaksikan sebanyak 139 taman bimbingan kanak-kanak (tabika) termasuk empat taman asuhan kanak-kanak (taska) Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di empat daerah di Kedah, ditutup buat sementara waktu setakat ini.

Daripada jumlah berkenaan, 121 tabika dan dua taska berada di daerah Kubang Pasu, lapan tabika dan dua taska (Padang Terap), satu tabika (Kulim Bandar Baharu) dan lima tabika di Kuala Kedah.

ARTIKEL BERKAITAN: Mungkin lebih banyak sekolah di Kuala Sanglang akan ditutup susulan pelaksanaan TEMCO

"Ia membabitkan seramai 2,747 kanak-kanak di tabika dan taska. Jadi tujuan kita tutup sementara ini sebagai langkah awal pencegahan untuk mengelak daripada penularan pandemik Covid-19.

"Proses sanitasi juga turut dilakukan di semua tabika dan taska dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan kerajaan," kata Ketua Pengarah Kemas Datuk Mohd Yasid Bidin pada Jumaat.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Meraikan Sukarelawan Penyediaan set peralatan perlindungan diri (PPE) Kemas Negeri Sembilan di Serembang yang turut dihadiri Pengarah Kemas Negeri Sembilan Muhamad Abu Bakar.

Mengulas lanjut, Mohd Yasid berkata setakat ini belum ada kes direkodkan membabitkan kanak-kanak di bawah tabika dan taska Kemas.

"Di Kedah kita mempunyai sebanyak 800 tabika dan taska, tapi taska tak banyak. Sebenarnya tabika dan taska kita selamat cuma kita tutup untuk cegah Covid-19," katanya. - BERNAMA

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain