Selesai... 104 individu terkandas di KLIA sudah ditempatkan di stesen kuarantin - Ismail Sabri

Seramai 104 individu terkandas di KLIA pada Khamis susulan pesawat yang dinaiki mereka tiada dalam senarai jadual asal. Gambar hiasan. Foto: Bernama

KESEMUA 104 individu yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Khamis, telah ditempatkan di stesen kuarantin.

Menurut Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, penghantaran individu-individu terbabit ke stesen kuarantin tergendala seketika kerana menunggu persiapan hotel untuk menerima bilangan individu yang besar.

Kumpulan individu terbabit yang pulang dari luar negara terkandas di KLIA ekoran pesawat yang dinaiki mereka tiada dalam senarai jadual asal.

ARTIKEL BERKAITAN: Rakyat Malaysia, warga asing pulang dari luar negara akan jalani kuarantin wajib mulai Jumaat ini

"Semalam, terdapat sekumpulan individu yang terkandas di KLIA kerana tidak dihantar ke stesen kuarantin dalam durasi masa yang ditetapkan dan setelah diteliti, daripada 13 penerbangan yang mendarat di KLIA, terdapat satu pesawat yang tiada dalam jadual asal telah mendarat dan membawa 104 penumpang.

"Pihak urus setia mengambil tindakan segera untuk menghantar mereka yang terjejas dalam kumpulan kecil ke hotel-hotel lain yang sedia ada serta memastikan makanan ringan dan minuman disediakan sepanjang proses tersebut," katanya dalam satu kenyataan mengenai perkembangan PKPP pada Jumaat.

Beliau berkata kumpulan terakhir ditempatkan di stesen kuarantin pada pukul 10 malam.

Berikutan itu, Ismail Sabri berkata Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) akan menambah baik penyelarasan bersama Angkatan Pertahanan Awam (APM) Negeri yang bertindak sebagai sekretariat di peringkat negeri dalam aspek pengurusan stesen kuarantin. - BERNAMA

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain

Harga petrol, diesel naik

Lebih sejuta korban Covid-19 di seluruh dunia