suria

Tak benar 63 individu positif Covid-19 di Guar Chempedak! Polis sahkan mesej suara tular di Whatsapp adalah palsu

Ketua Polis Daerah Yan DSP Shahnaz Akhtar mengesahkan mesej suara yang tular itu palsu.

POLIS mengesahkan mesej pesanan suara yang tular dalam aplikasi WhatsApp menyatakan 63 individu di Guar Chempedak, Kedah disahkan positif Covid-19, adalah palsu.

Menurut Ketua Polis Daerah Yan DSP Shahnaz Akhtar ketika dihubungi Bernama malam ini, audio berdurasi 34 saat itu tidak benar sama sekali.

Katanya, ini kerana pada masa ini jumlah individu di daerah tersebut yang positif Covid-19 tidak seramai itu.

Terdahulu, tular mesej dengan suara lelaki yang berkata: "Assalamuaalaikum semua minta perhatian adik-beradik, tak sat (sebentar tadi) member IPD (Ibu Pejabat Polis Daerah Yan) telefon depa (mereka) baru selesai mesyuarat, baru tak sat ja, statistik daripada Hospital Sultanah Bahiyah depa bagitau (beritahu), kawasan Guaq (Guar Chempedak) saja dok ada 63 orang positif Covid-19, kawasan Guaq saja.

"Minta semua adik-beradik yang ada kawasan Guaq apa semua, kawasan Yan, kawasan kampung kita, jangan keluar mana-mana minta perhatian. Tak sat baru dapat info daripada IPD".

Sehubungan itu, Shahnaz meminta orang ramai tidak sesuka hati menyebarkan berita palsu sehingga boleh menimbulkan keadaan panik dalam kalangan orang ramai.

Beliau berkata segala statistik berkaitan Covid-19 hanya diumumkan oleh pihak Kementerian Kesihatan. - BERNAMA

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain