suria

“Terbaik... moga bertambah semangat” - Ramai terharu, petugas Covid-19 HKL terima hidangan air tangan Tunku Azizah

Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menyumbangkan makanan buat petugas Covid-19 di HKL.

KOMITMEN tinggi petugas barisan hadapan (frontliners) berdepan wabak Covid-19 ternyata menyentuh hati ramai.

Malah, pengorbanan mereka turut mendapat perhatian Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah pada Ahad.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, Tunku Azizah menyumbangkan makanan buat petugas-petugas Covid-19 di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki dirawat di Hospital P.Pinang korban ke-10 Covid-19

ARTIKEL BERKAITAN: Bahasa Inggeris tak betul tak jadi masalah buat Tunku Azizah - “Saya tidak malu kerana itu bukan bahasa ibunda saya”

"Lebih kurang pukul 12.30 tengahari tadi Hospital Kuala Lumpur telah menerima sumbangan makan tengahari sebanyak 100 pek daripada Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah untuk petugas-petugas kesihatan di Wad Covid-19.

"Pek tersebut mengandungi nasi putih, sayur goreng, ayam goreng dan kari telur yang dimasak sendiri oleh KDYMM SPB Raja Permaisuri Agong.

"Juga disumbang adalah air mineral dan buah limau. Pek makanan tengahari diserahkan oleh wakil Istana Negara, Mohd Isam Yusof," ujarnya menerusi Facebook.

Dalam pada itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan HKL turut merakamkan perhargaan atas keprihatinan Tunku Azizah terhadap petugas yang bertungkus lumus berkhidmat sepanjang wabak Covid-19.

Tunku Azizah memberi sumbangan makanan buat petugas Covid-19 di HKL.

Ujarnya, sumbangan itu tentunya menyuntik semangat buat mereka dalam memberikan rawatan terbaik.

Dalam pada itu, posting berkenaan turut dihujani dengan pelbagai komen netizen.

Malah, ia sehingga kini menerima lebih 7,300 tanda suka di laman Facebook.

"Terbaik... moga bertambah semangat pasukan perubatan kita menjalankan tugas.

"Syukur Alhamdulillah... daulat Tuanku.

"Moga allah permudah urusan petugas-petugas KKM," tulis beberapa individu.

Tunku Azizah, Covid-19, HKL

Artikel Lain