suria

“Kita tak tahu pun ada perhimpunan tabligh melibatkan 16,000 orang” - KP Kesihatan

KKM setakat ini berjaya menjejaki 11,000 daripada 14,000 peserta jemaah tabligh tempatan. -fotoBERNAMA.

PERKEMBANGAN semasa Covid-19 pada Ahad menyaksikan 10 kematian direkodkan dengan pertambahan 123 kes baharu, menjadikan 1,306 kes keseluruhan setakat ini.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, 62 peratus daripada jumlah pesakit Covid-19 di negara ini merupakan mereka yang terlibat dalam perhimpunan jemaah tabligh di Masjid Sri Petaling baru-baru ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki dirawat di Hospital P.Pinang korban ke-10 Covid-19

"Sehingga hari ini kita ada 1,306 pesakit. 62 peratus jumlah keseluruhan pesakit merupakan daripada kumpulan tabligh.

"Jadi bermaksud 62 peratus bersamaan dengan 743 daripada 1,306 pesakit," ujarnya menerusi sidang media Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada Ahad.

Mengulas lanjut Dr Noor Hisham berkata, pihaknya juga tidak mengetahui tentang perhimpunan tabligh yang berlangsung pada 27 Februari hingga 1 Mac itu sehinggalah dimaklumkan oleh rakan sejawatnya di Brunei.

Malah, pihak KKM juga terus membuat saringan dan pengesanan jemaah tabligh sejurus seorang daripada mereka disahkan menghidap Covid-19.

Sidang media bersama Dr Noor Hisham pada Ahad petang.

"Sebelum kita dimaklumkan pada 9 Mac yang seorang ahli jemaah tabligh terlibat dalam jemaah tersebut, telah hadir ke masjid tersebut daripada rakan sejawat saya di Brunei, kita tidak tahu pun ada perhimpunan tabligh yang melibatkan 16,000 orang.

"Dan apabila seorang positif, jadi kita terus melaksanakan saringan dan pengesanan jemaah tabligh tersebut.

"Tapi kalau perhimpunan yang lain, contohnya dulu kita ada perhimpunan Thaipusam, Chap Goh Mei dan sebagainya... tak ada penularan Covid-19 ini," ujarnya.

Melibatkan peserta dari 25 negara, Dr Noor Hisham turut memaklumkan perhimpunan itu disertai seramai 695 peserta dari Indonesia.

Dalam perkembangan lain, KKM juga berjaya menjejaki 11,000 daripada 14,500 peserta jemaah tabligh tempatan.

Daripada jumlah itu, sebanyak 6,700 persampelan sudah dilakukan dan 743 peserta disahkan positif Covid-19.

Artikel Lain