suria

Malaysia catat kes keempat positif koronavirus

Malaysia catat empat kes positif koronavirus setakat ini. FOTO: BERNAMA.

KEMENTERIAN Kesihatan mengesahkan satu lagi kes positif 2019 novel koronavirus (2019-nCoV) di negara ini, menjadikan keseluruhan sebanyak empat kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Datuk Dr Noor Hisham Abdullah bagaimanapun berkata ia tidak mempunyai kaitan dengan tiga kes positif sebelum ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Menteri sahkan 3 pelancong warga China masuk Malaysia positif koronavirus

ARTIKEL BERKAITAN: “Mereka sudah ada perancangan melawat” - Ramai pertikai bagaimana ahli keluarga lain ‘lepas’ masuk Malaysia walau dua dah ditahan di Singapura

"Kes terbaharu melibatkan lelaki berusia 40 tahun dari Wuhan, China. Dia datang ke Johor Bahru pada 22 Januari, menaiki bas dari Singapura bersama 17 pelancong China lain.

"Dia mula menunjukkan tanda-tanda demam pada 23 Januari dan mendapatkan rawatan di sebuah hospital swasta keesokan harinya," ujarnya menerusi satu kenyataan.

Lelaki itu kemudiannya dirujuk ke Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru dan kini dipantau di bawah jagaan Pasukan Perubatan Penyakit Berjangkit.

Ujian pengesanan dan pengesahan bagi kes ini, telah dihantar ke Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dan pada petang Sabtu dan pihak Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan telah menerima pelaporan bahawa sampel pesakit terbabit didapati positif 2019-nCoV.

Terdahulu pada Sabtu, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad mengesahkan tiga warganegara China kini ditahan di Hospital Sungai Buloh, Selangor selepas disahkan dijangkiti 2019 novel koronavirus (2019-nCoV).

Tiga kes yang disahkan tersebut merupakan kalangan kontak rapat kepada dua kes yang merupakan bapa dan anak, yang terdahulu disahkan dijangkiti penyakit yang sama oleh Kementerian Kesihatan Singapura (KKS). - The Star.

koronavirus, Wuhan

Artikel Lain