suria

Lelaki, bekas teman wanita ditemui mati dalam kereta di pakir pusat beli-belah

SEORANG lelaki dan bekas teman wanitanya ditemui mati di dalam kereta di kawasan parkir di pusat membeli-belah dekat Kota Kinabalu, awal pagi Jumaat.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, lelaki berusia 23 tahun dan wanita berumur 20 tahun itu mati akibat keracunan karbon monoksida.

Menurutnya, polis bergegas ke tempat kejadian selepas menerima panggilan daripada orang awam kira-kira pukul 3 pagi.

Polis telah dimaklumkan mengenai sebuah kenderaan yang diletakkan di tingkat tiga kompleks berkenaan.

"Kita periksa kereta tersebut dan mendapati kedua-duanya tdak sedarkan diri dalam kedudukan duduk. Tidak pasti berapa lama mereka berada di dalam kereta. Polis tidak menemui sebarang unsur jenayah," katanya.

Habibi berkata, mereka disahkan meninggal dunia oleh kakitangan perubatan dari Hospital Likas pada pukul 5.10 pagi.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Queen Elizabeth 1 untuk bedah siasat dan keputusan menunjukkan punca kematian disebabkan keracunan karbon monoksida.

Kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

Habibi menasihati orang ramai supaya tidak tidur di dalam kereta dengan enjin dihidupkan atau di dalam kenderaan yang dipakir bagi mengurangkan risiko kematian. - The Star

Artikel Lain