suria

Sah! Maszlee bukan lagi Presiden UIAM

Maszlee (dua dari kiri) ketika menyampaikan Anugerah Khas Pencapaian Luar Biasa Ko-Kurikulum kepada Azzrulkhan Hasrullah Matsah (berkerusi roda) sempena Majlis Konvokesyen UIAM kali ke- 34, 10 Nov lalu. - Bernama

KLUANG: Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik pada Ahad mengesahkan yang beliau sudah tidak lagi memegang jawatan sebagai Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), yang sepatutnya berakhir pada tahun 2021.

Menurut beliau, surat perletakan jawatan telah pun ditandatanganinya dan kini menunggu pengumuman rasmi universiti berkenaan untuk pelepasan jawatan yang disandangnya bermula bulan September tahun lepas.

ARTIKEL BERKAITAN: Maszlee tak layan desakan

“Saya kini bukan lagi Presiden UIAM, surat perletakan jawatan pun telah saya tandatangani, cuma kini menunggu pengumuman dari UIAM termasuklah individu yang bakal menggantikan saya.

“Perletakan jawatan ini atas kerelaan saya dan demi kebaikan bersama,” katanya ketika diminta mengulas berkenaan kedudukannya dalam UIAM, di sini pada Ahad.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas lawatan kerja dan memberikan sumbangan kelengkapan klinik di Klinik Kesihatan Simpang Renggam yang turut dihadiri oleh Pakar Perubatan dan Kesihatan Keluarga Klinik Kesihatan Simpang Renggam, Dr Fatimah Hassan.

Jelas Maszlee lagi, beliau turut berharap semua pihak dapat memberi kerjasama sepenuhnya kepada individu yang bakal menggantikan tempatnya itu.

Beliau turut enggan mengulas tarikh sah perletakan jawatannya itu, selain enggan mengulas lanjut berkenaan desas-desus individu yang bakal menggantikannya iaitu bekas Naib Canselor  UIAM, Datuk Dr Mohd Daud Bakar.

Sementara itu, semasa lawatannya ke klinik kesihatan berkenaan beliau telah memberikan beberapa kelengkapan untuk kemudahan orang ramai termasuk kerusi menunggu dan alat pendingin hawa.

Katanya, pemberian sumbangan berkenaan adalah susulan daripada gambar dan berita yang diviralkan dalam media sosial mengenai beberapa kemudahan terbabit yang telah uzur serta tidak selesa untuk kegunaan umum.

“Hari ini (Ahad) kita berikan beberapa kemudahan di klinik di sini agar orang ramai terutamanya pesakit akan berada dalam keadaan yang selesa ketika menunggu giliran mereka untuk mendapatkan rawatan,” katanya. - Bernama

Maszlee Malik

Artikel Lain