suria

Maszlee tak layan desakan

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik ketika mengadakan pertemuan bersama aktivis pelajar di sebuah restoran terletak di luar perkarangan Universiti Malaya hari ini. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR: Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik bertindak tidak melayan tuntutan kumpulan mahasiswa yang mendesaknya melepaskan jawatan sebagai Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Beliau bagaimanapun berjanji akan mengembalikan kegemilangan UIAM dengan menjadikannya “Oxford of the Muslim Countries” termasuk seluruh universiti di Malaysia.

“Sebagai bapa (Menteri Pendidikan) saya harus mendengar keluhan anak-anak (mahasiswa), biasalah anak-anak kalau tak dapat sesuatu daripada bapa mereka meradang.

“Jadi apa yang terbaik ialah saya perlu tunjukkan dengan bukti perubahan yang akan dibawa kepada UIAM dan universiti-universiti lain.

“Malah Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri memaklumkan kepada saya bahawa UIAM merupakan institusi yang berpotensi menjadi setaraf Universiti Oxford kepada negara-negara Islam,” katanya ketika sidang media selepas pertemuan lebih satu jam dengan kira-kira 50 wakil mahasiswa,di sini, pada Rabu.

Ahli Parlimen Simpang Renggam itu turut menegaskan bahawa lantikan beliau sebagai Presiden UIAM diputuskan oleh Ketua Perlembagaan UIAM, Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah atas nasihat Perdana Menteri.

“Kalau saya lantik diri sendiri, dah lama saya letak jawatan. Dalam hal ini, pendapat kepimpinan dan warga UIAM adalah amat penting kerana mereka ialah stakeholder.

“Saya dipilih menjadi Presiden UIAM bukan kerana saya Maszlee Malik tetapi selaku Menteri Pendidikan dengan tujuan untuk melonjak imej dan potensi universiti yang didukung oleh rakyat Malaysia dan juga duta-duta negara asing,” jelasnya.

Menurutnya, persoalan utama yang wajar diajukan ialah kenapa beliau dilantik selaku Presiden UIAM.

Katanya, sebab utama ialah lantikan itu berdasarkan misi dan tanggungjawab, oleh itu, tidak bertanggungjawab sekiranya beliau menolak jawatan tersebut dan juga tidak menjalankan misi yang diamanahkan tersebut.

“Saya cuma ingin melaksanakan misi dan tanggungjawab yang diamanahkan UIAM, saya akan lakasanakan dengan terbaik. Kemudian, saya akan letak jawatan.

“Tempoh tujuh hari yang diberikan kumpulan mahasiswa itu untuk saya berundur, ternyata di luar bidang kuasa saya, ini lantikan UIAM.

Saya perlu adakan sesi konsultasi dengan pihak universiti kerana mereka ialah stakeholder, pendapat mereka lebih penting kerana mereka telah bersedia untuk berubah,” jelas Maszlee.

Hari ini, kira-kira 50 mahasiswa mengadakan pertemuan dengan Maszlee bagi menyatakan desakan mereka untuk Menteri Pendidikan itu melepaskan jawatan sebagai Presiden UIAM selepas demonstrasi duduk bantah di Kementerian Pendidikan Sabtu lepas gagal.

Sementara itu, wakil mahasiswa, Asheeq Ali, 23, bersama Siti Nurizzah Mohamed Tazali, 23, memaklumkan pertemuan lebih sejam antara mahasiswa dengan Maszlee hari ini juga menemui jalan buntu, apabila beliau enggan memberi kata putus untuk melepaskan jawatan Presiden UIAM.

Menurut Asheeq, mereka kecewa kerana Maszlee tidak mengumumkan peletakan jawatannya meskipun didesak.

“Kecewa, kami nak beliau (Maszlee) letak jawatan tapi bagi banyak alasan. Sekarang kami bagi beliau tujuh hari untuk berunding dengan Sultan Pahang dan Perdana Menteri .

“Kami bukan memusuhi Maszlee tapi kami mahu universiti bebas daripada politik,” katanya.

Asheeq yang juga mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata, pertemuan empat mata dengan Maszlee tadi berlangsung dalam suasana tegang dan menemui jalan buntu.

“Mahasiswa desak autonomi universiti dipulangkan kepada universiti,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, sebelum bersurai, kumpulan mahasiswa itu berhimpun dan melaungkan desakan agar Maszlee letak jawatan, Maszlee yang berada di belakang kumpulan itu menghulurkan botol minuman namun, ditolak secara kasar oleh salah seorang kumpulan itu. - Sinar Harian

Maszlee Malik, UIAM

Artikel Berikut

Artikel Lain