suria

3 didakwa tipu projek lebuh raya tak wujud

PETALING JAYA: Sepasang suami isteri dan rakan mereka didakwa di Mahkamah Sesyen di sini Rabu atas tuduhan menipu seorang kontraktor untuk melabur lebih RM1 juta dalam projek lebuh raya yang tidak wujud, dua tahun lepas.

Mohd Nasir Abu Hassan, 53, pengurus projek di sebuah syarikat pembinaan, isterinya Nazhatul Syahira Sanusi, 26, pengarah syarikat sama dan rakan mereka Wan Anizam Wan Ishak, 52, seorang arkitek, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atas mereka dibacakan di hadapan Hakim Datin Fadzlin Suraya Mohd Suah.

Ketiga-tiga tertuduh didakwa bagi mencapai niat bersama telah menipu S. R.Letchumanan, 47, dengan memperdayakan mangsa untuk melabur dalam projek Lebuhraya Pantai Timur Selatan yang telah diberi kepada ketiga-tiga tertuduh, sedangkan projek itu tidak wujud.

Kesemua tertuduh telah mendorong mangsa menyerahkan wang sebanyak RM1,060,000, yang mana mangsa tidak akan menyerahkan wang tersebut sekiranya tidak diperdayakan.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di Wisma Thiviya Builders Sdn Bhd, Jalan SP 2/4, Taman Serdang Perdana, Seri Kembangan, di sini pada September 2016 mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan dengan sebat dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Ashyraf Ashy'ari Kamaruzaman mencadangkan wang jaminan RM100,000 bagi setiap tertuduh dengan seorang penjamin.

Peguam Lily Chua dan M.Manoharan yang mewakili pasangan suami isteri itu memohon jumlah tersebut dikurangkan dengan alasan ia terlalu tinggi dan kedua-dua anak guam mereka perlu menyara keluarga dan tiga anak yang masih kecil.

Peguam Datuk Suraj Singh yang mewakili Wan Anizam juga berkata anak guamnya perlu menyara tiga anak dan bersedia dengan sebarang syarat tambahan yang sesuai bagi mengurangkan jumlah jaminan.

Hakim Fadzlin Suraya membenarkan ketiga-tiga tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri di balai polis berdekatan setiap bulan sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 6 Jun untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen. - BERNAMA

lebuhraya

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain