suria

Kes Culik Datuk Dibicara Mei Ini

Tiga daripada empat tertuduh kes culik pengarah urusan berpangkat Datuk di tempat meletak kereta di sebuah hotel di Indera Mahkota, tiga tahun lepas dibawa keluar oleh anggota polis selepas sebutan semula kes di Mahkamah Tinggi pada Jumaat. Foto: Bernama

KUANTAN: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 21 hingga 25 Mei depan sebagai tarikh  perbicaraan empat tertuduh yang didakwa menculik seorang ahli perniagaan bergelar 'Datuk', tiga tahun lalu.

Hakim Datuk Hassan Abdul Ghani menetapkan tarikh itu selepas pihak pendakwaan memaklumkan mereka telah menyerahkan dokumen berkaitan kepada barisan pembelaan.

Pada prosiding itu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Faridz Gohim Abdullah, Muhammad Asyraf Md Kamal dan Shahrul Ekhsan Hassim manakala peguam S. Sundarajan dan Eng Yuh Pei mewakili semua tertuduh.

Dalam kes itu, empat tertuduh Low Sing Hwa, 31, Tham Hock Ann, 38, Chong Yee Loon, 40 dan Liew Chee Wei, 38, didakwa mengurung secara salah Datuk Chin Yoke Choon, 53, bagi mendapatkan wang tebusan sebanyak RM19 juta.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu pada pukul 5.55 petang, 26 Dis 2015 di kawasan letak kereta Hotel Sri Manja Boutique, Bandar Indera Mahkota di sini.

Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 3 Akta Penculikan 1961 (semakan 1969) dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan, jika sabit kesalahan.

Selain itu, semua tertuduh juga menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan kerana menganggotai kumpulan jenayah terancang.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan. -Bernama

Kes Culik, Datuk

Artikel Lain