suria

Tiangong-1 Lintasi Malaysia Awal Pagi Tadi

KUALA LUMPUR: Stesen angkasa Tiangong-1 milik China yang sedang jatuh ke bumi telah melintasi Malaysia selama 81 saat mulai 3.19 pagi Jumaat.

Dalam tempoh itu, ketinggiannya dijangka menyusut dari 182.462 km ke 182.407 km, menurut  ramalan terkini 're-entry' stesen angkasa berkenaan yang dimaklumkan Agensi Angkasa Negara (Angkasa).

Dalam kenyataannya, Angkasa mengingatkan orang ramai supaya tidak menyentuh atau mengambil sebarang objek mencurigakan disyaki daripada kejadian 're-entry' itu.

Mereka turut digesa menghubungi talian kecemasan ‘999' untuk melaporkan sebarang pemerhatian dengan memberi maklumat seperti lokasi dan masa, dan adalah lebih baik sekiranya rakaman video dibuat bagi membantu siasatan kelak, kata Angkasa.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah Angkasa Dr Noordin Ahmad berkata kebarangkalian Tiangong-1 jatuh di Malaysia dianggarkan hanya 0.09 peratus berdasarkan keluasan negara.

"Angkasa mengambil langkah awal dengan memantau penyusutan ketinggian Tiangong-1 seawal November 2017," katanya.

Majlis Keselamatan Negara turut bekerjasama dengan Angkasa untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

Maklumat lanjut boleh didapati di www.angkasa.gov.my.-- Bernama

Tiangong-1

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain