suria

Keluarga Aminulrasyid Terima RM114,800

Allahyarham Aminulrasyid.

PUTRAJAYA: Keluarga remaja Aminulrasyid Amzah yang meninggal dunia akibat 21 das tembakan kira-kira lapan tahun lalu, akhirnya memperoleh ganti rugi RM114,800.

Ia selepas Mahkamah Persekutuan pada Khamis, menolak permohonan kerajaan bagi mendapatkan kebenaran merayu berhubung jumlah ganti rugi diberikan kepada waris kanak-kanak itu.

Panel tiga hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Md Raus Sharif membuat keputusan itu selepas berpuas hati bahawa Seksyen 7 dan Seksyen 8 Akta Undang-Undang Sivil 1956 adalah jelas dan tidak perlu dibuat penafsiran lanjut.

Seksyen 7 dan Seksyen 8 adalah berhubung ganti rugi bagi tuntutan berdasarkan kematian serta merta.

Sehubungan itu, mahkamah mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan sebelum ini yang memerintahkan ganti rugi RM114,800 dibayar kepada keluarga mangsa.

Turut bersidang bersama adalah Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum dan Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Ramly Ali.

Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 24 Mac 2016 memerintahkan ganti rugi RM414,800 dibayar kepada waris remaja itu selepas memutuskan Koperal Jenain Subi bertanggungjawab atas kematiannya sebelum Mahkamah Rayuan mengurangkan jumlah itu kepada RM114,800.

Peguam Kanan Persekutuan, Alice Loke hadir bagi mewakili Ketua Polis Daerah Shah Alam, bekas Ketua Polis Selangor Tan Sri Khalid Abu Bakar (kini bekas Ketua Polis Negara) dan kerajaan.

Manakala keluarga Aminulrasyid diwakili peguam Datuk Seri Gopal Sri Ram, N Surendran, Latheefa Koya dan Shahid Adli Kamarudin. - Sinar Online

Aminulrasyid

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain