suria

Derita Ibu Sakit Kanser Mulut Mula Dapat Perhatian

Pesakit kanser mulut tahap empat Zarina Jusoh yang ditemui di Kampung Lalang, Mukim Siong, Baling, Rabu. Zarina, 45, menderita akibat penyakit kanser itu sejak lima tahun lalu yang bermula dengan benjolan kecil di bawah rahang kanannya. -fotoBERNAMA

BALING: Pelbagai bentuk bantuan mula dihulurkan kepada Zarina Jusoh, 45, yang menderita kanser mulut tahap empat, sejak kisahnya dipaparkan media.

Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menambah bantuan bulanan dari RM200 kepada RM300, manakala Ahli Parlimen Baling, Datuk Azeez Abd Rahim tampil memberi bantuan sebanyak RM300 sebulan selama setahun termasuk bantuan susu khas untuk ibu lima anak itu.

Abdul Azeez berkata, pejabat parlimennya akan menyegerakan proses permohonan rumah ibu tersebut memandangkan kediaman sekarang di Kampung Lalang, Mukim Siong disewa.

"Di samping itu, kita juga akan menyediakan pengangkutan untuknya pergi mendapatkan rawatan di Institut Perubatan Pergigian Termaju (IPPT) di Bertam, Pulau Pinang," katanya.

Zarina sebelum ini menjalani pembedahan di rahang kanan sebanyak tiga kali tetapi keadaan masih tidak berubah, malah kanser itu semakin membesar.

Menurut ibu itu, kanser mula menyerangnya lima tahun lalu. 

Ia bermula dengan benjolan kecil di bawah rahang kanannya dan semakin lama semakin membesar.

Zarina mendapatkan rawatan di Hospital Daerah Baling, dan kesnya itu kemudian dirujuk ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani.

Ibu itu terpaksa menjalani tiga kali pembedahan bermula pada 2014, dan doktor terpaksa membuang tulang rahangnya kerana bimbang kanser itu menjangkiti otaknya.

Zarina berkata, pembedahan itu tidak memberi kesan kepada penyakitnya kerana setiap kali pembedahan membuang tumor dilakukan, ia membesar semula selepas empat bulan.

Orang ramai yang ingin membantu keluarga berkenaan boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Agro Bank 2-00-5151-00015886-0 atas nama Abdullah Ahmad atau hubungi mereka di talian 019-5072796.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain