suria

Peniaga Mengaku Tidak Bersalah Sediakan Akaun Bank Untuk Pengganas

Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR: Seorang peniaga mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini Rabu atas pertuduhan menyediakan akaun bank bagi menyokong kegiatan pengganas.

Mohd Naazri Ishak @ Bahari, 49, didakwa menyediakan kemudahan iaitu menggunakan akaun Maybank, dengan pengetahuan bahawa kemudahan itu akan digunakan secara keseluruhannya oleh pengganas.

Bapa lima anak itu didakwa melakukan kesalahan itu di Bandar Tun Razak, di sini pada 8.20 pagi, 22 Mac lepas.

Dia yang berasal dari Jitra, Kedah didakwa mengikut Seksyen 130O (1)(b)(bb) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Mohamad Shariff Abu Samah menetapkan empat hari bermula 17 Oktober ini untuk perbicaraan kes Mohd Naazri yang juga merupakan seorang bilal.

Mahkamah turut menetapkan 17 Oktober untuk mendengar bantahan awal untuk menggugurkan pertuduhan yang dihadapi tertuduh melalui peguamnya Musa Ismail.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustaffa P. Kunyalam.

Terdahulu, Mohd Naazri yang menjalankan perniagaan barangan elektrik memohon agar dia diberi kebenaran untuk menelefon pejabat syarikat perniagaannya seminggu sekali bagi mengetahui perkembangan pengurusan syarikat itu.

Bagaimanapun, Mohamad Shariff meminta agar tertuduh berbincang dengan peguamnya untuk menghubungi waris terdekat bagi menguruskan perniagaan itu.

Tertuduh kemudian dibawa ke penjara Sungai Buloh, Selangor. - BERNAMA

peniaga, akaun bank, pengganas

Artikel Lain