suria

AirAsia Pajak Dua Pesawat A330

KUALA LUMPUR: AirAsia Bhd menandatangani perjanjian pajakan dengan PT Indonesia AirAsia Extra, Indonesia, bagi memajak dua pesawat  A330 bersama krew penerbangan, penyelenggaraan dan insurans, melibatkan bayaran  sebanyak US$12.9 juta (US$1=RM4.05).

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia pada Rabu, AirAsia berkata kontrak untuk pesawat pertama untuk tempoh 16 September hingga 15 Mac tahun depan, melibatkan US$9.8 juta.

Kontrak kedua sebanyak US$3.1 juta adalah antara 1 Oktober - 30 Oktober tahun ini.

"Perjanjian itu melibatkan penyediaan sehingga enam set krew tambahan sehari kepada bekalan petugas AirAsia. 

"Selain itu, kapasiti tambahan yang disediakan oleh A330s membolehkan AirAsia merasionalisasikan rangkaiannya dengan mengurangkan kekerapan penerbangan, yang menyumbang kepada keperluan krew yang lebih kecil," katanya.

AirAsia berkata kapasiti tambahan pesawat A330s juga membolehkannya mengatasi kekangan slot di beberapa lapangan terbang, dan membolehkannya mengurus rangkaian dengan lebih baik.

"Bagi laluan yang tidak ramai penumpang, AirAsia boleh mengurangkan kekerapan, sekali gus mengurangkan kos tetap yang diperlukan untuk mengurus laluan berkenaan.

"Sebaliknya kapasiti tambahan boleh ditambah kepada laluan yang ramai penumpang bagi memanfaatkan permintaan tinggi," katanya. - BERNAMA


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain