suria

DBKL Tidak Akan Ganggu Siasatan SPRM - Datuk Bandar

KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak akan mengganggu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap pegawainya yang disiasat suruhanjaya itu, kata Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Mhd Amin Abd Aziz.

"Itu hak SPRM untuk jalankan tugas, bagi saya pegawai-pegawai saya tidak perlu risau kalau dia tak buat salah. Kita (pegawai DBKL) punya tugas jalan seperti biasa," katanya kepada pemberita ketika mengetuai lawatan Tapak 'Blueprint' Kebersihan dan Penarafan Kawasan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) di sini pada Khamis.

Beliau diminta mengulas laporan akhbar pada Khamis mengenai lebih 30 pegawaidan kakitangan DBKL disyaki terlibat dalam salah guna kuasa melibatkan pembelian kondominium dan pangsapuri di ibu negara.

Baru-baru ini, seorang pegawai kanan DBKL bergelar Datuk Seri ditahan SPRM bagi membantu siasatan kes rasuah dan salah guna kuasa, dipercayai memiliki 31 unit kondominium mewah bernilai lebih RM15.5 juta.

Dalam perkembangan sama, Mhd Amin berkata DBKL sedang mengemas kini pengisytiharan harta pegawai pengurusan tertingginya di semua peringkat dan dijangka selesai sebelum Jumaat depan.

"Setakat ini daripada 26 pengarah, hanya 12 orang sahaja belum dikemas kini, saya bagi masa sehingga Jumaat hadapan untuk selesaikan kemas kini dalam sistem," katanya.

Menyentuh mengenai lawatan tersebut, Mhd Amin berkata sebanyak 35 kawasankomersial dan perumahan sekitar WPKL telah dikenal pasti untuk mendapat penarafan kebersihan melalui program itu. 

"Berdasarkan lawatan sebentar tadi, kita dapati kebersihan kawasan meningkat terutama bahagian lorong-lorong belakang dan kita positif, objektif untuk mencapai bandar raya bersih seiring status negara maju akan tercapai menjelang 2020," katanya. -Bernama

Artikel Lain