suria

'Tuhan Harun' Meninggal Dunia Akibat Masalah Pernafasan

KUANTAN: Ketua kumpulan ajaran sesat 'Tuhan Harun' atau nama sebenarnya Harun Mat Saat meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) petang Selasa setelah mengalami masalah pernafasan.

Harun, 50, dilaporkan meninggal dunia pada pukul 4.40 petang ketika menjalani pemeriksaan di hospital berkenaan.

Peguamnya Hermes Putra Media Ibrahim ketika dihubungi Bernama berkata beliau dimaklumkan oleh salah seorang anak Harun, bahawa lelaki itu meninggal dunia semasa sedang menjalani ujian kemampuan menghadiri perbicaraan di mahkamah.

"Namun saya belum lagi mendapat maklumat lanjut mengenai faktor kematiannya ini.

"Saya dimaklumkan, pihak hospital kini masih menunggu kehadiran pihak polis untuk laporan kematian sebelum proses bedah siasat dilakukan," katanya.

Beliau berkata, jenazah Harun dijangka dibawa pulang untuk dikebumikan di kampungnya di Batu Talam, Raub sebaik proses bedah siasat dan mandi jenazah dilakukan di hospital itu.

Harun dan lima lagi pengikutnya sedang menjalani perbicaraan di Mahkamah Tinggi di sini atas tuduhan berkonspirasi membunuh pegawai Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) pada tiga tahun lepas.

Harun, bersama isteri ketiganya, Azida Mohd Zol, 33; pemandu mereka, Shaizral Eddie Nizam Shaari, 40; dan tiga pengikut dituduh melakukan konspirasi jenayah dengan bersetuju membunuh Ahmad Raffli Abd Malek.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di No 7, Lorong IM 2/29, Bandar Indera Mahkota di sini, pada 1.50 petang, 10 Nov 2013.

Dakwaan itu mengikut Seksyen 302 dan 120B (1) Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Tuhan Harun

Artikel Lain