suria

Culik: Tujuh Termasuk Dua Anggota Polis Dilepas Tanpa Dibebas

KUALA LUMPUR: Mahkamah Majistret di sini melepaskan tanpa membebaskan tujuh individu termasuk dua anggota polis atas pertuduhan menculik seorang ahli perniagaan warga Iran, Ali Reza Monfered, tahun lepas.

Majistret Siti Radziah Kamarudin membuat keputusan itu selepas mangsa iaitu  Ali Reza danpengadu iaitu anaknya gagal hadir ke mahkamah sebanyak tiga kali semasa prosiding kes itu.

Hari ini ditetapkan untuk perbicaraan. 

Tertuduh ialah Manoj Singh Mukan Singh, 46, ahli perniagaan,  Shahmirzadi Mohammadreza (akauntan), Mohd Hiqquan Haqmel Jamin, 26, (pengurus syarikat keselamatan), Farizzad Azmer Abu Bakar, 33, (pengawal peribadi), Kpl Khir Akyazril Azmi, 31, Kpl Muhammad Imran Hanafi, 31, dan Tan Tiam Chai, 45, (mekanik).

Mereka dituduh menculik Ali Reza di rumah nombor 9, Jalan Keranji 2 off Jalan Kedondong, Jalan Ampang Hilir, Wangsa Maju pada 5 petang, 23 November tahun lepas, mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Aftal Mariz Mohamed,  manakala kesemua tertuduh diwakili peguam Sharen Rosli, Muhammad Rafique Rashid Ali, Samantha Chong, Jason Singh dan P.Muniswar. -- Bernama

culik, Ali Reza Monfered, Iran

Artikel Lain