suria

Pelajar UUM Perlu Dana Bayar Bil Rawatan Di Korea Selatan

Mohd Arif menjalani pembedahan di Hospital Kangbuk Samsung, Korea Selatan.

PETALING JAYA: Seorang pelajar Malaysia berada dalam keadaan tenat selepas radang apendiksnya pecah ketika sedang mengikuti forum belia di Korea Selatan.

Malah, lebih membingungkan dia memikirkan mengenai cara untuk membayar bil perubatan tersebut.

Pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) Mohd Arif Gamar, 21, antara salah seorang daripada lima pelajar dari Malaysia yang ditaja untuk mewakili negara pada Forum Belia Antarbangsa Kelima mengenai Sejarah Perdamaian di Seoul.

Forum lima hari itu dianjurkan Suruhanjaya Kebangsaan Korea untuk Unesco dan diadakan di Universiti Hanyang minggu lalu.

Namun pada Isnin, semasa sesi ice-breaking pada permulaan forum, Mohd Arif mengadu mengalami sakit perut yang teruk.

Kesakitan itu disebabkan radang apendiksnya pecah dan dia perlu menjalani pembedahan dengan segera di Hospital Kangbuk Samsung kerana keadaan itu boleh mengancam nyawanya.

Pelajar dari Sabah itu kemudiannya mendapati dia perlu membayar bil perubatan sebanyak RM37,000.

Seorang rakannya di UUM, Sivaranjini Anbalagan berkata Mohd Arif menghadapi masalah kewangan untuk membayar kos pembedahan itu.

"Saya menyedari dia mengalami sakit perut kerana kami berdua berada dalam kumpulan sama semasa forum itu. Namun saya tidak sedar radang apendiksnya sudah pecah sehingga dimaklumkan fasilitator saya.

"Saya melawatnya hari ini dan pada waktu itu dia beritahu kami bahawa dia memerlukan wang untuk membayar kos pembedahannya kerana bapanya hanya bekerja sebagai buruh," kata Sivaranjini.

Ibu Mohd Arif pula hanya seorang suri rumah.

Mohd Arif sudah mengumpul RM6,000 termasuk RM2,000 daripada simpanan pendidikannya dan memerlukan RM29,000 lagi bagi melunaskan pembayaran kos pembedahan itu.

Mereka yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menderma kepada Mohd Arif di akaun Maybank 164481258847 di atas nama bapa saudaranya.

Sepupu Mohd Arif, Liris Teblani turut membantu mengumpul dana untuknya.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Liris di talian 018-9700054.

Artikel Lain