suria

Ramalan Umno Johor Berpecah Susulan Pemecatan Muhyiddin Tidak Berlaku - Mohamed Khaled

KOTA TINGGI: Ramalan banyak pihak tentang Umno Johor berpuak-puak, berpecah dan lemah, susulan penggantungan dan pemecatan Tan Sri Muhyiddin sebagai Timbalan Presiden Umno tidak berlaku, malah Umno Johor masih kekal kuat seperti dahulu.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata ramalan itu tidak berlaku sama sekali.

"Umno Johor masih seperti sebelum ini. Kerana Umno Johor ini bukan terbina sehari dua. Bukan semalam, bukan sejak dua atau tiga pilihan raya yang lepas.

"Walaupun banyak gelora dan cabaran yang telah Umno Johor hadapi semenjak tahun lepas, ternyata kesatuan ahli masih lagi sangat utuh," kata beliau ketika berucap pada majlis perasmian Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Kota Tinggi di Dataran Sedili Besar, Tanjung Sedili, di sini Ahad.

Perasmian berkenaan dilakukan Perdana Menteri dan Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak.

Mohamad Khaled menjelaskan bahawa Umno Johor lahir sebelum kewujudan Malaysia dan kelahirannya adalah pada saat negara masih dalam berantakan serta mencari maruah diri.

"Jadi, untuk sebuah gerakan siasah yang sematang ini, ia punya kekuatan yang luar biasa. Lebih-lebih lagi di tempat kelahirannya sendiri," katanya.

"Walaupun Tan Sri (Muhyiddin) adalah tokoh besar Johor dan sangat berjasa, beliau telah memilih haluan sendiri, haluan yang berlainan.

"Jadi, Umno Johor mesti menghormati pendirian tersebut. Dan tugas kita terhadap Umno harus diteruskan, malah mesti ditingkatkan," kata beliau.

Beliau berkata anggota Umno perlu melihat perkara itu sebagai sebuah realiti sebuah perjuangan.

"Akan ada yang tercicir, akan ada yang tersasar, akan ada yang menarik diri, akan ada yang memilih jalan lain.

"Namun, yang harus kita fokuskan bukanlah kepada wujudnya perbezaan tersebut. Bukan pada mereka yang pergi. Kerana itu sudah lumrah," kata beliau.

Tegas Mohamed Khaled, fokus sebaliknya harus diberi kepada mereka yang memilih untuk kekal bersetia dengan wadah ini.

"Kerana bagi keseluruhan ahli Umno Johor, Umno itu bukan sekadar sebuah parti politik Melayu. Bukan sekadar sebuah institusi Melayu.

"Tetapi Umno itulah pencetus sebenar kemajuan bangsa Melayu. Umno inilah yang telah menghasilkan 'the national awakening' atau kebangkitan nasional," kata menteri besar.

Beliau berkata peranan besar Umno dalam kebangkitan nasional itulah yang telah membolehkan semua berada di kedudukan sekarang, yang menjadikan Malaysia, serta segala ceritanya, sebuah kejayaan yang besar.- BERNAMA

Artikel Lain