suria

Perbetul Apa Sahaja Yang Tidak Kena Dalam Keluarga Umno Sendiri - Najib

Najib (dua, kiri) menyarungkan keris ke dalam sarungnya sebagai simbolik merasmikan Persidangan Perwakilan Umno Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Bahagian Kota Tinggi di Sedili Besar pada Ahad. - fotoBERNAMA

KOTA TINGGI: Datuk Seri Najib Tun Razak pada Ahad menyeru anggota Umno supaya terus mempertahankan parti keramat itu, malah turut mengingatkan mereka agar memperbetulkan apa sahaja yang tidak kena dengan parti dalam lingkungan keluarga Umno sendiri.

Perdana menteri dan presiden Umno itu berkata tiada pilihan lain bagi anggota Umno sebagai pejuang parti untuk mempertahankan parti itu sendiri dalam memastikan kelangsungan perjuangan martabat orang Melayu pada masa akan datang.

"Ibarat kita dalam sebuah rumah, kalau tidak kena perabot, kita boleh ganti, kita boleh alih perabot itu. Kalau ada pinggan-mangkuk yang sumbing, kita boleh beli yang baharu. Kalau ada langsir yang robek, kita boleh ganti dengan langsir yang baharu.

"Tetapi kalau kita ni membakar rumah Umno ini, di mana kita nak cari tempat kita hendak berteduh? Datuk Seri (Mohamed Khaled Nordin) baca pantun tadi, kalau Umno tersungkur, di mana orang Melayu nak berteduh? Maknanya, kalau Umno mati, rumah Umno ini kita binasakan, di mana kita nak bernaung, di mana kita nak bergantung harapan? Jawabnya tiada," kata Najib.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Kota Tinggi di Dataran Sedili Besar, Tanjung Sedili, di sini Ahad.

Najib berkata sebagai presiden parti, beliau sentiasa berjiwa besar dan sebagai contoh, pada Perhimpunan Agung Umno yang lepas, beliau mengambil langkah menghulurkan tangan perdamaian dan tangan perpaduan tetapi malangnya tidak disambut.

Malah, beliau berkata pemimpin-pemimpin terdahulu Umno memilih jalan lain yang bertentangan dengan wadah perjuangan parti Umno.

"Sebab (itu) kita perlu Umno sebagai sebuah parti yang menyatupadukan orang Melayu, roh perjuangan kita lahir di perkarangan tangga Istana Besar Johor Baharu, bukan calang-calang tempat, kerana kita meniupkan roh semangat perjuangan nak menyatupadukan orang Melayu, nak meneruskan perjuangan memartabatkan bangsa, agama dan negara," kata beliau.

Najib turut menyelar parti baharu, Parti Pribumi Bersatu Malaysia, yang bercadang untuk bekerjasama dengan DAP, yang sama sekali tidak pernah menyokong perjuangan atas nama pribumi dan hak Bumiputera.

"Malah Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri dan Tan Sri Muhyiddin (Yassin) dalam Umno sendiri telah menyelar mereka sebagai parti anti-Islam, anti-Melayu, cauvinis. Mereka telah menyatakan dengan jelas, ayat itu keluar daripada mulut mereka sendiri waktu mereka dalam Umno, maka jelaslah bahawa hari ini mereka cakap lain. - BERNAMA

Umno, Najib Tun Razak

Artikel Lain