suria

Pandikar Amin Dibenar Pulang Pada Sabtu

KUALA LUMPUR: Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang dirawat di Hospital Serdang sejak dua hari lepas dibenar pulang pada Sabtu.

Pandikar Amin menjalani pembedahan kecil selepas pihak hospital mendapati terdapat jangkitan pada jantungnya selepas menjalani pemeriksaan rutin pada 10 Ogos.

Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang sudi melawatnya ketika mendapatkan rawatan di hospital berkenaan.

"Alhamdulillah, dengan berkat doa dan rawatan diberikan, saya telah dibenarkan keluar dari hospital pagi tadi. 

"Saya ingin merakamkan ucapan ribuan terima kasih kepada Perdana Menteri yang telah melawat saya di Hospital Serdang pada 11 Ogos walaupun dalam kesibukan beliau mentadbir negara," katanya dalam kenyataan.

Pandikar Amin turut merakam ucapan terima kasih kepada individu mendoakan kesejahteraan beliau dan warga kerja Hospital Serdang yang terlibat merawatnya. 

"Terima kasih terutama sekali pihak pentadbiran diketuai Pengarah Hospital Dr Rohana Johan dan pakar perubatan jantung khasnya Dr Kahar Abdul Gafar, Dr Kamaraj Selvaraj dan Dr Sri Ranga Mohana Rao serta semua yang terlibat merawat saya sewaktu berada di hospital tersebut," katanya. -Bernama

Artikel Lain